Thursday, April 30, 2015

#PRKPermatangPauh : BN Persoal Pendirian Pakatan Rakyat Kenaikan Tarif Air Pulau Pinang

pilihanraya kini     2:41 AM    


 Barisan Nasional (BN) hari ini mempersoal pendirian Pakatan Rakyat yang masih mendiamkan diri berhubung keputusan kerajaan Pulau Pinang menaikkan tarif air, walaupun membawa isu kos sara hidup bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh secara agresif.

Pengerusi BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow berkata, tindakan itu dilihat selektif kerana Pakatan cuba memperjuangkan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), tetapi tidak mempedulikan bebanan yang ditanggung rakyat ekoran kenaikan tarif itu.

"Tiga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri tidak berupaya melakukan apa-apa kerana keputusan dan dasar diputuskan seseorang yang sangat berkuasa," katanya dalam sidang media harian jentera BN Permatang Pauh di pusat operasi BN di sini Rabu.

Selain itu, katanya, banyak dasar yang dilaksanakan kerajaan DAP Pulau Pinang membebankan rakyat seperti kenaikan cukai pintu dan caj urusan hartanah yang meningkat lebih 200 peratus.

Pada Selasa, Pengarah Strategik PKR, Sim Tze Tzin dilaporkan berkata kenaikan tarif air 16.7 peratus berkuat kuasa 1 April lepas perlu dirujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP).

Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman, Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir, dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif.

Sementara itu, Shahrum berkata calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail perlu bersikap adil dan berhenti melakukan pengkhianatan kepada rakyat Kajang, khususnya pengundi yang memihak kepada beliau sewaktu PRK awal tahun lepas.

Beliau turut mempersoalkan bagaimana presiden PKR itu dapat membahagikan masa kepada lebih 40,000 pengundi DUN Kajang serta 71,000 pengundi Parlimen Permatang Pauh pada masa yang sama.

"Di Kajang merupakan satu pengkhianatan kepada rakyat, tak sampai setahun lebih (selepas Pilihan Raya Umum 2013), wakil rakyat Kajang terdahulu (Lee Chin Cheh) dipaksa meletak jawatan bagi memberi laluan kepada Wan Azizah.

"Tak sampai satu penggal, terpaksa buat PRK balik, dan Suruhanjaya Pilihan Raya terpaksa menghabiskan RM berjuta...tugas sebagai ADUN tak bolehlah di vendor kepada pegawai untuk uruskan pusat khidmat di Kajang," katanya.

Dr Wan Azizah sewaktu sidang media harian PKR hari ini sekali lagi menegaskan tidak ada masalah untuk beliau menjaga dua kawasan serentak kerana DUN Kajang terletak di bawah pengawasan timbalan beliau yang juga Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

PRK Permatang Pauh pada 7 Mei depan menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah, Suhaimi Sabudin (BN), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia).

Ia diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat setelah Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.