Saturday, April 11, 2015

#PrkPermatangPauh : Cikgu Zaidi Bakal Calon BN?

pilihanraya kini     4:50 PM    


Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said yang disebut-sebut bakal calon BN PRK Permatang Pauh. BAGI menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, nama Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Mohd Zaidi Mohd Said nampaknya sudah hampir pasti akan dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada 7 Mei nanti.


Beliau yang lebih dikenali sebagai Cikgu Zaidi merupakan anak tempatan di kawasan berkenaan dan bakal menjadi pengganti penyandang kerusi berkenaan iaitu bekas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini banduan di Penjara Sungai Buloh.Pada 19 Oktober 2013, Cikgu Zaidi menang jawatan Ketua UMNO Bahagian dengan menewaskan penyandang Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dengan memperolehi 303 undi.


Ketika itu, pertandingan menyaksikan pertembungan tiga penjuru, Abdul Jalil merupakan penyandang tiga penggal di situ cuma meraih 40 undi manakala dua calon lain, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Datuk Ahmad Saad 193 undi dan Abdul Nasser Mohamed Sharif hanya memperolehi 4 undi. Difahamkan Cikgu Zaidi pernah menawarkan sebuah pasukan dinamakan ‘pasukan transformasi’ yang akan membariskan muka baru dan lama untuk bawa perubahan kepada UMNO Bahagian Permatang Pauh.

Bagi beliau, matlamat utama pasukan itu ialah untuk mengakhiri legasi Anwar di Parlimen berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti. Bagi calon pembangkang yang kemungkinan besarnya ialah dari PKR, dengar cerita mereka bakal meletakkan anak Anwar, Nurul Nuha iaitu adik kepada Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah untuk bertanding kerusi berkenaan.

Sebelum ini, isteri Anwar iaitu Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pernah menyandang kerusi itu tetapi kemudian meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada Anwar untuk bertanding selepas dibebaskan dari penjara. Pada penulis, bakal ada kejutan di Permatang Pauh nanti apabila satu daripada parti dalam Pakatan Rakyat (PR) akan turut bertanding menentang PKR ekoran konflik dalaman yang melanda pakatan itu.

Segalanya akan terjawab pada 25 April nanti pada hari penamaan calon dan hari pengundian ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 7 Mei depan dan pengundian awal pada 3 Mei.
Anwar hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen yang dihantar keluarga Anwar untuk mendapatkan Pengampunan Diraja membebaskan beliau dari hukuman penjara yang dijatuhkan.

– PRU14.tv


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.