Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh : Jangan Terpengaruh Hasutan Pembangkang - Ismail

pilihanraya kini     12:02 PM    


Pengundi dinasihati supaya jangan terpengaruh dengan hasutan pembangkang dalam kempen pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Muttalib berkata pengundi seharusnya menggunakan kebijaksanaan mereka memilih seorang wakil rakyat yang dapat berkhidmat untuk mereka.

Katanya, pembangkang memberikan maklumat yang tidak benar tentang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) supaya rakyat membenci kerajaan.

"Dalam sepanjang karier politik, saya tidak nampak mana-mana parti selain BN dapat memerintah dan memberikan pembangunan kepada sesebuah kawasan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas majlis menyampaikan sumbangan Perkeso dan Jabatan Tenaga Kerja kepada penduduk di Berapit, di sini hari ini.

Katanya, beliau yakin kerajaan BN akan memberikan kelebihan dari segi pembangunan infrastruktur kepada penduduk di sini selepas 17 tahun diwakili calon PKR.

"BN sudah tentu akan menyediakan peluang pekerjaan berkemahiran yang lebih supaya penduduk dapat menikmati mutu kehidupan yang lebih selesa," katanya.

Ditanya tentang calon PKR, Ismail, yang anggota Parlimen Maran, berkata mereka menggunakan calon kitar semula seolah-olah tiada orang lain dalam parti itu.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN, SuhaimiSabudin, akan ditentang calon PKR, Datuk Seri Dr wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden parti itu, Azman Shah Othman daripada Parti Rakyat Malaysia, serta calon Bebas, Salleh Isahak.

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan ketua umum PKR itu hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.