Tuesday, April 21, 2015

#PRKPermatangPauh : Konflik PAS & PKR Semakin Teruk

pilihanraya kini     3:31 PM    


KONFLIK dalaman PAS dan PKR di Permatang Pauh nampaknya makin terang dan jelas apabila PAS di kawasan lain di Pulau Pinang turut menyuarakan sokongan kepada PAS kawasan Permatang Pauh.

Hari ini, PAS kawasan Kepala Batas menyuarakan sokongan penuh kepada PAS kawasan Permatang Pauh untuk memboikot kerjasama dengan PKR pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh jika enggan menarik balik kenyataan berkaitan isu Hudud yang ditujukan kepada Presiden PAS.
Ketua Pemuda PAS Kepala Batas, Mohd Hafiz Kasim dalam kenyataan medianya berkata, mereka memberi sokongan penuh kepada langkah PAS Permatang Pauh.

“Ditegaskan lagi bahawa jentera pemuda PAS Kawasan Kepala Batas akan dikerahkan membantu PKR dalam PRK Permatang Pauh setelah PKR melaksanakan tuntutan yang telah dibuat oleh PAS Kawasan Permatang Pauh,” katanya.
Sebelum itu, PAS Permatang Pauh dikatakan telah mendapat mandat ahli mereka dalam Mesyuarat Agung Tahunan kawasan itu untuk mendesak PKR menarik balik kenyataan menolak pelaksanaan Hudud.

Yang Dipertua PAS Permatang Pauh Omar Hassan memberikan kata dua dan memberikan tempoh hingga hari penamaan calon pada 25 April ini dan menuntut PKR memohon maaf berhubung isu itu.
“Jika bersetuju (dengan syarat yang diberikan) maka kami PAS Kawasan Permatang Pauh akan meneruskan kerjasama PAS-PKR dalam pilihan raya kecil ini.
“Pendirian ini adalah keputusan yang dibuat dan disepakati dalam mesyuarat agung PAS kawasan kali ke-38.
“Jika mereka masih berkeras tidak mahu menarik balik kenyataan itu kita tengoklah macam mana nanti,” katanya.
Jika diperhatikan, PAS Permatang Pauh dikatakan mampu membawa kira-kira 6,000 undi yang kukuh untuk PKR di kawasan itu ditambah jentera yang bekerja kuat membantu kemenangan parti pada setiap kali pilihan raya yang diadakan.

Dewan Muslimat PAS kawasan itu juga mengambil pendirian yang sama dengan PAS Permatang Pauh berhubung kemelut kerjasama dengan PKR itu.

Air empangan kalau ditahan-tahan, lambat laun pecah juga, itulah permainan politik para pemimpin PKR yang masih cuba menutup lompang yang semakin jelas menunjukkan adanya krisis antara PKR dan PAS di Permatang Pauh.

Terdahulu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah membuat kenyataan bahawa tiada kemelut berlaku antara kedua-dua pihak.

Kemudian, Timbalannya pula Azmin Ali membuat kenyataan bahawa tidak timbul keperluan menarik balik kenyataan ataupun meminta maaf kepada PAS dalam kemelut itu.

– PRU14.tv

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.