Thursday, April 30, 2015

#PRKPermatangPauh : PAS Permatang Pauh Terima Tekanan Bantu PKR Dalam Pilihan Raya Kecil

pilihanraya kini     2:34 AM    


Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh Omar Hassan menerima tekanan daripada pemimpin PAS Pusat dan negeri sebelum menarik balik keputusannya untuk tidak membantu PKR dalam kempen pilihan raya kecil Permatang Pauh, kata seorang bekas pemimpin PAS Pulau Pinang.
Omar yang sebelum ini tegas mempertahankan keputusan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung hukum hudud terpaksa tunduk kepada ‘arahan’ Timbalan Presiden PAS yang juga Pesuruhjaya PAS negeri Mohamad Sabu dan Timbalan Pesuruhjaya parti Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.
“Apabila Mat Sabu (Mohamad) memberi tekanan, Omar tidak mempunyai pilihan kecuali menurut perintah. Sepatutnya dalam perkara ini Omar mestilah merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi yang menyatakan bahawa kita mesti memberi penghormatan sewajarnya kepada keputusan (yang dibuat) PAS Permatang Pauh,” katanya kepada Bernama di sini Selasa.
PAS kawasan Permatang Pauh sebelum ini meluluskan usul menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan dan memohon maaf secara terbuka jika mahu PAS kawasan itu menyokong PKR dalam pilihan raya kecil.
Namun, pada 25 April, Omar menganggap kemelut itu sudah selesai dan tidak lagi timbul isu permohonan maaf yang dituntut sebelum ini selepas mengadakan pertemuan dengan presiden yang juga calon PKR bagi pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas pemimpin PAS negeri yang enggan dikenali itu turut sangsi dengan kenyataan Omar bahawa beliau (Omar) mendapat arahan Majlis Syura Ulama parti untuk membantu kempen Pakatan Rakyat, kerana menurut kebiasaannya majlis syura tidak terlibat dalam perkara sedemikian dan berkemungkinan besar ia merujuk kepada keputusan jawatankuasa PAS pusat.
Beliau berkata Omar seharusnya merujuk kepada pemimpin dan anggota PAS Permatang Pauh terlebih dahulu sebelum membuat keputusan menerima atau menarik balik usul berkenaan.
Katanya PKR seharusnya sedar bahawa PAS yang menyebabkan kemenangan besar parti itu di Permatang Pauh, namun PKR dilihat seolah-olah langsung tidak menghargai persahabatan kepimpinan PAS.
“Kelihatan PAS telah diperlakukan seperti ‘habis manis sepah dibuang’. Semua pertolongan yang telah diberi ahli dan penyokong PAS ibarat ‘melepaskan anjing tersepit’,” katanya.
Katanya PAS Permatang Pauh sepatutnya mempertahankan pendirian presiden parti daripada terus dihina rakan sekutunya.
Beliau berkata PAS paling pantang apabila ada pihak yang menghina presiden mereka dan memperlekeh matlamat perjuangan parti itu untuk melaksanakan hudud di Kelantan.
“Sebagai parti yang bermaruah, sudah pastilah Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang (DPPNPP) Mohd Yusni Mat Piah, Yang Dipertua PAS Kawasan Permatang Pauh Omar Hassan dan ahli PAS Permatang Pauh berhak untuk mempertahankan presiden PAS daripada terus dihina oleh DAP dan PKR.
“Ahli PAS berhak untuk mempertahankan presiden dan prinsip parti…matlamat yang utama adalah untuk melaksanakan hudud di Kelantan. Itu adalah hak mereka, mempertahankan prinsip dan perjuangan parti,” katanya.
PRK Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Dr Wan Azizah, Suhaimi Sabudin (Barisan Nasional), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
PRK Permatang Pauh diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Pada pilihan raya umum 2013, Anwar mempertahankan kerusi Permatang Pauh dengan menewaskan calon BN, Dr Mazlan Ismail dengan majoriti 11,721 undi – BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.