Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh : Pengundi Permatang Pauh Perlu Tolak Ahli Politik 'Touch N Go' - Shahrizat

pilihanraya kini     9:10 AM    


Pengundi kawasan Parlimen Permatang Pauh perlu menolak wakil rakyat yang disifatkan sebagai ahli politik 'Touch N Go' kerana amalan suka berpindah-randah kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil berkata ini berdasarkan rekod Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pernah bertanding di kawasan Permatang Pauh sebelum pilihan raya kecil (PRK) kali ini, selain menjadi ADUN Kajang di Selangor.

Dr Wan Azizah memenangi kerusi Parlimen itu pada pilihan raya 1999, 2004 dan 2008 sebelum berundur memberi laluan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13, pada 2013.

"Pengundi di Permatang Pauh perlu bijak menilai kredibiliti calon PKR itu," katanya kepada pemberita selepas program 'Run For Solidarity' di Kuala Lumpur, Ahad.

Shahrizat berkata demikian ketia diminta mengulas pencalonan semula Presiden PKR itu bertanding PRK kawasan Parlimen Permatang Pauh, 7 Mei ini.

Ketua Wanita UMNO itu berkata maklumat balas sayap wanita UMNO di Kajang menerima pelbagai aduan yang Dr Wan Azizah tidak membawa sebarang pembaharuan sejak memenangi kerusi itu pada PRK Kajang, Mac tahun lepas.

PRK Permatang Pauh diadakan selepas Anwar dipenjara selama lima tahun kerana disabit kesalahan meliwat bekas pembantu peribadinya dan oleh itu hilang kelayakan sebagai Anggota Parlimen.

Program 'Run For Solidarity', anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Skuad Sayang Wanita UMNO di Taman Botani Perdana menyaksikan penyertaan 2,000 orang awam dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

--BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.