Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh : Peruntukan lebih akan diminta bagi pembangunan Permatang Pauh - Zahid

pilihanraya kini     7:31 AM    



Pengarah Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan meminta peruntukan lebih untuk pembangunan kawasan Parlimen ini jika pengundi memberi peluang kepada calon Barisan Nasional (BN) Suhaimi Sabudin 7 Mei nanti.

Katanya setiap anggota Parlimen yang mewakili BN akan diberi peruntukan RM5 juta oleh kerajaan pusat bagi pembangunan serta perbelanjaan lain termasuk kebajikan rakyat.

"Saya akan meminta peruntukan lebih daripada Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri kepada Suhaimi kerana penduduk Permatang Pauh sudah tunggu lama untuk pembangunan dan membaiki kemudahan infrastruktur," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran Pusat Transformasi Komuniti Bergerak untuk penduduk Permatang Pauh di Kampung Belah Dua, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata pengundi Permatang Pauh harus 'mencuba' keikhlasan Suhaimi untuk berkhidmat tiga tahun selepas 17 tahun mereka menyokong pembangkang tetapi tidak mendapat apa-apa pembangunan.

Berdasarkan pemerhatiannya setelah seminggu berkampung di sini, Ahmad Zahid berkata penduduk Permatang Pauh khususnya di kawasan pinggir bandar dan kampung sememangnya dahagakan kemajuan dan inginkan pembelaan wakil rakyat terhadap golongan miskin tegar.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata selepas penamaan calon semalam sehingga pagi tadi, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima sebarang laporan yang boleh membawa kepada siasatan dan penangkapan bagi kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Beliau berkata pihaknya telah memberi nasihat kepada jentera BN supaya menjaga tingkah laku dan lebih berdisplin sepanjang tempoh berkempen dan mengingatkan penyokong tidak melakukan atau menyambut provokasi mana-mana pihak.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.