Monday, April 27, 2015

#PRKPermatangPauh : Puteri UMNO Anggap PKR Ketandusan Calon Pilih Wan Azizah

pilihanraya kini     11:43 AM    


Pergerakan Puteri UMNO menerima reaksi bercampur-campur dari pengundi pada hari pertama kempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh yang bakal diadakan pada 7 Mei depan.

Penolong Setiausaha Puteri UMNO Fahariyah Md Nordin berkata biarpun begitu, reaksi positif nampaknya lebih banyak dilihat dan diterima daripada pengundi di kawasan berkenaan.

“Setakat ini kita menerima respon yang bercampur-campur, dalam hal ini calon memainkan peranan penting, kebanyakan respon yang kami terima adalah positif daripada masyarakat tempatan,” katanya selepas menziarah penduduk dalam program Ziarah Kasih di Mukim Tanah Liat, Permatang Pasir hari ini.
Mengulas pencalonan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Fahariyah berkata parti kekeluargaan itu sudah ketandusan calon yang berwibawa untuk diketengahkan.

“Kita melihat PKR sudah ketandusan calon, seolah-olah tiada lagi calon yang berkredibiliti yang boleh dipertaruhkan.
“PKR juga sudah mengambil hak pengundi untuk memilih calon ataupun wakil rakyat yang boleh memperjuangkan mereka, kerana sebelum ini rakyat Permatang Pauh sudah pun memilih dan mengundi beliau sebagai Ahli Parlimen.
“Bagaimanapun, beliau dengan sewenang-wenangnya meletakkan jawatan dan memberi laluan kepada suami beliau, secara tidak langsung PKR telah memainkan hati pengundi dan mengambil hak pengundi Permatang Pauh,” katanya kepada PRU14.tv.
Pada program berkenaan, anggota Puteri UMNO dari 13 Bahagian UMNO dari sekitar Pulau Pinang diketuai Fahariyah menziarahi warga emas di sekitar mukim berkenaan bagi bertanyakan khabar dan beramah mesra.

Mereka turut bertemu Othman Daud yang sudah berusia 103 tahun yang dilahirkan pada 12 Disember 1912.
PakcikOthman_1

PRK Permatang Pauh diadakan berikutan bekas Ahli Parlimennya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat kerana dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah kerana kesalahan meliwat.

– PRU14.tv

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.