Thursday, April 23, 2015

#PRKPermatangPauh : Suhaimi Sabudin, Anak Jati Permatang Pauh Calon BN

pilihanraya kini     8:49 PM    



Barisan Nasional (BN) mengumumkan Setiausaha UMNO Bahagian Permatang Pauh, Suhaimi Sabudin, 43, sebagai calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang akan berlangsung pada 7 Mei ini.

Beliau yang ketika ini bekerja sebagai Pengarah Urusan sebuah syarikat pembinaan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains dalam bidang Perumahan, Bangunan dan Perancangan Universiti Sains Malaysia (USM).

Pada ketika ini, parti PKR yang merupakan penyandang kerusi Permatang Pauh masih belum membuat pengumuman siapa calon mereka yang bakal berdepan dengan Suhaimi nanti.

Calon BN merupakan Ahli UMNO Cawangan Guar Jering dalam Bahagian Permatang Pauh sejak 1992 dan merupakan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Guar Jering pada 1994 hingga 2013.

Suhaimi yang merupakan anak jati di kawasan itu diumumkan sebagai calon oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pusat Operasi BN di Bandar Perda di Permatang Pauh hari ini.
Pada majlis berkenaan, khemah yang disediakan penuh dengan kehadiran penyokong parti dan juga pengundi kawasan Permatang Pauh menunjukkan masyarakat setempat ternanti-nanti siapakah bakal dipilih menjadi calon BN.

Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jentera BN Permatang Pauh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MIC Datuk Seri G Palanivel, Naib Presiden MCA yang juga Pengerusi MCA Pulau Pinang Datin Paduka Chew Mei Fun serta pemimpin parti komponen BN.

PRK kawasan Parlimen berkenaan diadakan kerana penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas dijatuhkan hukuman penjara lima tahun kerana meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Lembaga Pengampunan Diraja kemudiannya menolak petisyen Anwar untuk mendapatkan pengampunan bagi sabitan dan hukuman berkenaan.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.