Sunday, April 26, 2015

#PRKPermatangPauh : Tindakan Wan Azizah Bertanding PRK Permatang Pauh Pembohongan Kepada Rakyat

pilihanraya kini     5:54 PM    


Tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail untuk sekali lagi bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh merupakan pembohongan kepada rakyat kawasan berkenaan, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi.
Beliau menyifatkan Dr Wan Azizah sebagai menukar pendirian seolah-olah melakukan pusingan U sedangkan dirinya pernah mengosongkan kerusi parlimen itu pada tahun 2008 dengan alasan mahu menumpukan perhatian kepada keluarga.
"Jadi kenapa hari ini dia patah balik? Bukankah ini satu pembohongan yang Wan Azizah lakukan kepada masyarakat Permatang Pauh?
"Apakah beliau (Wan Azizah) tidak malu untuk menghadapi masyarakat Permatang Pauh yang ditinggalkan itu?," kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Pertubuhan Warisan Melayu Johor di sini, Sabtu.
Hadir sama Presiden Pertubuhan Warisan Melayu Johor Datuk Abd Rahman Yunos.
Sehubungan itu, Ab Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, menggesa para pengundi Permatang Pauh supaya membuat penilaian dengan bijak dalam memilih pemimpin demi kemajuan kawasan berkenaan.
Beliau berkata, masyarakat Permatang Pauh juga perlu sedar bagaimana mereka selama ini diperkotak-katik oleh parti yang dipimpin sebuah keluarga, dan sebaliknya memilih Barisan Nasional yang jelas dapat menjadi kerajaan yang mampu membawa kemajuan kepada negara.
Hari pengundian PRK Permatang Pauh yang ditetapkan pada 7 Mei ini, menyaksikan pertandingan empat penjuru dengan calon BN Suhaimi Sabudin ditentang Dr Wan Azizah dan anggota Parti Rakyat Malaysia Azman Shah Othman serta seorang calon Bebas, Salleh Isahak.
PRK Permatang Pauh diadakan setelah kerusi itu kosong selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon wakil rakyat itu.
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan kes meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan.-- Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.