Saturday, April 25, 2015

#PrkRompin : Calon BN PRK Parlimen Permatang Pauh, Rompin Perlu Kerja Keras-Shafie

pilihanraya kini     1:17 PM    



SEMPORNA, 24 April (BERNAMA) -- Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal meminta agar calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh di Pulau Pinang dan Rompin, Pahang berusaha sedaya upaya untuk memenangi hati rakyat di kawasan berkenaan.

Katanya, kedua-dua calon berkenaan perlu berkerja keras kerana laluan dan cabaran yang mereka lalui dalam PRK berkenaan bukannya mudah.

"Kita tidak boleh terlalu yakin dan selesa kerana banyak cabaran yang perlu dilalui untuk mencapai kemenangan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kelas Bimbingan Pelajar, di sini Jumaat.

Mohd Shafie yang juga penyelaras BN bagi kedua-dua PRK itu, berkata kedua-dua calon berkenaan mempunyai ilmu dan pengalaman dalam memimpin masyarakat.

"Calon BN PRK Parlimen Rompin Datuk Hasan Arifin yang merupakan pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin mempunyi pengalaman yang luas dalam memimpin masyarakat dan saya percaya beliau mampu membantu menyelasaikan masalah rakyat khusus masyarakat di luar bandar di kawasan parlimen berkenaan.

"Manakala calon BN PRK Parlimen Permatang Pauh Suhaimi Sabudin adalah anak tempatan yang juga mempunyi pengalaman dan saya percaya beliau mampu menjadi perantara rakyat dan kerajaan, dalam usaha membantu menyelasaikan pelbagai masalah yang dihadapi rakyat di kawasan itu," katanya.

PRK Parlimen Rompin diadakan berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Manakala PRK Parlimen Permatang Pauh diadakan selepas penyandangnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang kelayakan sebagai wakil rakyat berikutan keputusan Lembaga Pengampunan pada 16 Mac lepas menolak petisyen pengampunan diraja yang dikemukakan anggota keluarganya.

Anwar dihukum penjara lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008 dan kini ditahan di Penjara Sungai Buloh.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.