Thursday, April 23, 2015

#PrkRompin : Calon Muda Atau Veteran?

pilihanraya kini     7:08 PM    




ROMPIN: Walaupun PAS mempertaruhkan calon muda, Nazri Ahmad, tetapi masih terlalu awal untuk meramal peluang parti itu mencipta kejutan di Parlimen Rompin yang dianggap kubu kuat Umno sejak sekian lama.

Malahan, kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin juga baru bermula selepas selesai proses penamaan calon pada Rabu. Tentunya tempoh sehingga 5 Mei nanti akan menentukan kedudukan PAS dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding dalam saingan dua penjuru ini.

Menerusi tinjauan mStar Online, beberapa penduduk di kawasan ini mempunyai pendapat berbeza mengenai calon berusia 40 tahun yang diketengahkan PAS itu.

Norida Ghaffar, 40, berkata calon muda PAS pada PRK Parlimen Rompin kali ini tidak begitu popular jika dibandingkan Nuridah Salleh yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.


Justeru beliau memberitahu jentera PAS perlu bijak mengatur strategi sepanjang tempoh berkempen agar calon yang diketengahkan bersifat mesra pengundi.

"Tindakan PAS menurunkan calon muda saya rasakan satu langkah bijak tapi masalahnya calon itu tidak sepopular Datuk Hasan (Arifin) yang mewakili BN di kalangan pengundi di Rompin.

"Walaupun memegang beberapa jawatan dalam parti, dia hanya dikenali di kalangan ahli parti itu sahaja. Dia mungkin terkenal di kalangan peneroka Felda Keratong 5 tetapi kawasan Rompin ini luas, tidak semuanya ahli PAS," katanya yang bekerja di salah sebuah hotel di bandar ini.

Peneroka di Felda Keratong 8, Muadzam Shah, Che Din Mat Jais, 64 pula berkata, walaupun PAS menurunkan calon yang mempunyai latar belakang ilmu agama yang baik, hakikatnya BN pasti akan mempertahankan kerusi Parlimen ini.

"Itu kebenarannya... agak sukar bagi PAS kerana calon BN, Datuk Hasan (Arifin) mempunyai pengaruh kuat di sini. Penduduk orang asli pun ramai sukakan beliau. Beliau juga mempunyai ramai saudara mara di Rompin, tambahan pula dia pemimpin veteran. Tidak mustahil beliau akan menang.

Sumber : Mstar


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.