Sunday, April 26, 2015

#PrkRompin : Feri Baru Ke Pulau Tioman Mei Ini

pilihanraya kini     2:44 AM    



Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman, Datuk Mohd Johari Hussein tidak menyangkal dakwaan Pesuruhjaya Pas Pahang, Tuan Ibrahim Tuan Man yang mendakwa Tanjung Gemuk tidak sehebat Mersing di Johor untuk menarik pelancong ke Tioman.

“Saya tidak mengatakan tidak betul semua apa yang dikatakan PAS itu. Jika kita buat perbandingan salah satu daripada kemasukan pelancong domestik dan asing graf paling tinggi adalah di Mersing,” ujarnya ketika mengadakan lawatan ke Pusat Media yang berada di Kolej Komuniti di sini petang ini.

Bagaimanapun Mohd Johari menjelaskan, kerajaan negeri dalam proses untuk menaik taraf Tanjung Gemuk untuk menjadikan sebuah bandar baru.

“Saya merancang bersama beberapa agensi kerajaan lainnya. Sebagai parti yang memerintah kita boleh mencadang, menyokong dan membawa ide.


“InsyaAllah Tanjung Gemuk akan membangun. Cadangan mengenal pasti tapak yang boleh dibangunkan bandar baru telahpun dibincangkan bersama kerajaan negeri,” ujarnya.

Naib Presiden PAS sebelum ini mendakwa, hanya 30 peratus kedai yang masih wujud dekat Terminal Penumpang Tanjung Gemuk dan selebihnya tidak dapat beroperasi dan tidak diurus dengan baik oleh Majlis Daerah Rompin.

Pengunjung juga didakwa merungut kerana perkhidmatan bot yang membawa mereka ke Pulau Tioman gagal menepati masa.

Kata Tuan Ibrahim sedangkan Pulau Tioman dalam negeri Pahang sebaliknya yang dapat manfaat ialah jeti di Mersing yang menjadi destinasi pelancongan ke Pulau Tioman.

Dalam hal ini Mohd Johari menerangkan kerajaan negeri akan melancarkan dua buah feri yang boleh memuatkan 250 penumpang dalam satu masa di Tanjung Gemuk pada 4 April ini bagi tujuan mengatasi masalah penumpang yang berulang alik dari Tanjung Gemuk ke Pulau Tioman.

“Tanjung Gemuk ini adalah pintu masuk dari selatan ke Pahang. Ia juga tempat pendaratan ikan dan hasil laut kedua terbesar di negeri Pahang yang mana produk hasil laut dieksport ke Singapura, Jepun, Korea dan Eropah.

“Selain hasil lautan, sayuran dan buah tembikai juga dieksport ke Singapura dan Hong Kong.

“Kita perlu rancang bagaimana mahu mengemaskinikan perancangan bandar di Tanjung Gemuk ini supaya sosio ekonomi dan sector pelancong dapat diraih semula oleh penduduk di negeri ini,” jelasnya.

The Rakyat Post difahamkan kerajaan negeri akan melantik pengusaha swasta untuk bekerjasama dengan pengusaha tunggal feri di Tanjung Gemuk untuk mengurus dua feri yang akan dilancarkan nanti.

“Kerajaan negeri akan gabungkan dengan pengusaha baru dan lama kita gunakan kepakaran mereka memandang industri feri dan bot ini bermusim, kalau empat bulan tiada hasil kerajaan perlu sediakan subsidiari kerana mereka mengalami kerugian kerana kurangnya pelancong domestik dan luar ke Pulau Tioman,” ujarnya.

Pulau Tioman terletak lebih kurang 32 batu nautika ke arah timur dari Tanjung Gemuk, Pahang. Laluan masuk utama ke Taman Laut Tioman adalah dari Tanjung Gemuk (Pahang) dan Mersing (Johor).

Terdapat perkhidmatan feri berjadual (2 ½ jam perjalanan) dari jeti Tanjung Gemok atau Mersing ke Pulau Tioman setiap hari.

Tahun lalu, Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia Negeri Pahang menerima kemasukan seramai 9.7 juta pelancong dari dalam dan luar negara.

“Saya harap jumlah itu akan bertambah untuk tahun ini terutama ramai pelancong akan datang ke Tanjong Gemuk berbanding Mersing apabila dua feri ini telah beroperasi sepenuhnya selepas Mei ini,” ujarnya.

Mohd Johari Hussein adalah Ahli Dewan Undangan Negeri Tioman yang keenam selepas memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum ke-12 dan 13 lalu .

Ditanya mengenai isu yang turut dibangkitkan PAS mengenai kerajaan pusat dan negeri yang gagal menyiapkan projek Pangkalan Maritim dan Kastam (PMK) di Tanjung Gemuk sebagaimana yang terkandung dalam laporan Ketua Audit Negara, Johari berkata: “Kita ada satu jabatan yang mengambil alih tugas tersebut.

Agensi penguatuasaan Marin Malaysia yang mengambil alih, jadi tidak timbul isu. Mereka masih berkawal di persisiran Tanjung Gemuk.

“Kita juga akan buat duty free nak masuk Tioman, ada pass dan boleh berbelanja di situ untuk menarik pengunjung bagi mengatasi Mersing,” ujarnya.

Beliau turut berkata kerajaan negeri sedang dalam prosess untuk mendapat kelulusan Kementerian Kewangan untuk meluluskan cadangan menyediakan kedai bebas cukai di Pulau Tioman.



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.