Thursday, April 23, 2015

#PrkRompin : Gerak Jentera Cina, India

pilihanraya kini     7:42 PM    




Walaupun Parlimen Rompin mempunyai jumlah pengundi Cina dan India yang kecil, kurang lima peratus daripada 53,294 pengundi berdaftar, namun mereka tetap tidak dipinggirkan.

Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata Barisan Nasional (BN), yang mengamalkan proses demokrasi, tetap memastikan semua kaum termasuk golongan minoriti, diberi perhatian.

Ini disebabkan penglibatan pelbagai kaum penting dalam menjayakan pembangunan Parlimen Rompin, katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.


PRK itu, yang diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi Parlimen Rompin berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad.

Menyentuh mengenai amanat Timbalan Pengerusi BN Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mahu jentera parti bekerja keras untuk meningkatkan sokongan pengundi sekaligus menambah jumlah majoriti, Liow berkata MCA mengenal pasti beberapa kawasan yang didiami masyarakat Cina bagi memudahkan pergerakan jentera parti.

MCA, katanya, akan menumpukan kepada tiga kawasan iaitu Muadzam Shah, Tanjung Gemok dan Kuala Rompin bagi mendekati 1,380 pengundi Cina.

“Kita tahu peratusan pengundi Cina yang keluar mengundi pada pilihan raya lepas agak sedikit tapi saya yakin statistik tahun ini akan meningkat dan ia tidak menghalang mereka daripada memberi sokongan padu kepada Barisan Nasional,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri Dr S.Subramaniam berkata parti itu juga akan menggerakkan jentera parti itu daripada enam cawangan di Rompin bagi memastikan kesemua 621 pengundi India memihak kepada BN.

Beliau turut yakin masyarakat India akan meneruskan kepercayaan mereka terhadap BN seperti yang mereka lakukan pada Pilihan Raya Umum 2013.

Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata isu hudud yang dicetuskan oleh PAS akan mempengaruhi keputusan pengundi India dan Cina dalam PRK kali ini.

“Sudah pasti isu hudud memberi kesan dalam kalangan komuniti India dan Cina sekaligus boleh membawa perubahan yang besar dalam PRK kali ini,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata MIC akan mendekati penduduk India bagi mendengar suara hati pengundi minoriti itu khususnya di kawasan Keratong sekaligus mencuba sedaya upaya untuk memenuhi permintaan mereka.

Sejumlah 53,294 pengundi yang meliputi 19,561 di DUN Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394 pengundi) dan DUN Tioman (16,339 pengundi) layak menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK Rompin 5 Mei ini.

– BERNAMA


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.