Friday, April 24, 2015

#PrkRompin : Gst Sebagai Modal Kempen Tidak Bermaruah - Dato Hassan

pilihanraya kini     1:21 PM    



ROMPIN – Tindakan PAS menggunakan isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP) sebagai slogan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin adalah tidak bertanggungjawab, kata calon Barisan Nasional bagi PRK itu, Datuk Hasan Arifin.

Beliau berkata pelaksanaan CBP oleh kerajaan adalah untuk mentrasformasikan negara sebagai sebuah negara maju menjelang 2020.

“Slogan PAS ‘Satu Undi PAS, Satu Undi Tolak GST’ adalah konotasi yang tidak bertanggungjawab, dan CBP sebenarnya adalah satu transisi yang diusahakan oleh kerajaan (untuk menjadi negara maju),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pecah tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 10 di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, dan turut dihadiri Anggota Dewan Undangan Negeri Muadzam Shah Datuk Maznah Mazlan.

Hasan, yang juga pemangku Ketua UMNO Bahagian Rompin, turut berharap pengundi di Parlimen Rompin tidak terpengaruh dengan slogan tersebut.

“CBP sebenarnya, tidak memberi kesan yang besar kepada masyarakat kampung,” katanya.

Dalam PRK itu, Hasan berdepan calon PAS Nazri Ahmad dalam saingan untuk mengisi kekosongan kerusi Parlimen Rompin berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sejumlah 53,294 pengundi yang meliputi 19,561 pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Ibam, DUN Muadzam Shah (17,394 pengundi) dan DUN Tioman (16,339 pengundi) layak mengundi pada PRK Rompin 5 Mei ini.

BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.