Saturday, April 25, 2015

#PrkRompin : Isu Bakar Bendera

pilihanraya kini     1:23 PM    




ROMPIN - Polis membuka kertas siasatan mengenai dua laporan kes membakar bendera parti politik di Felda Selancar 2 awal pagi semalam.

Ketua Pusat Media PRK Rompin, Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, pihaknya menerima dua laporan mengenai kejadian itu yang berlaku di dua tempat yang berlainan di tanah rancangan tersebut.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan bagi kesalahan khianat, di mana jika bersalah, pesalah boleh dipenjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengingatkan parti politik yang bertanding pada PRK Rompin supaya menasihatkan penyokong masing-masing agar tidak melakukan perkara yang menyalahi peraturan dan undang-undang yang boleh mencetuskan ketegangan.

Selain itu para penyokong kedua-dua parti yang bertanding dalam PRK itu diminta bertindak matang.

“Bagi memastikan perkara itu tidak berulang, pihak polis meningkatkan rondaan setiap masa berserta pasukan pemantau Suruhanjaya Pilihan Raya, kata Abdul Aziz.

Beliau berkata, polis telah menubuhkan pasukan khas bagi tujuan pencegahan jenayah sepanjang PRK Rompin.

Beliau juga turut mengingatkan parti-parti yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah.

PRK Rompin menyaksikan calon BN Datuk Hasan Arifin bakal berdepan calon Pas, Nazri Ahmad berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis yang maut dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sejumlah 53,294 pengundi, 19,561 orang di kawasan Dun Bukit Ibam, Dun Muadzam Shah (17,394) dan Dun Tioman (16,339) layak mengundi pada 5 Mei ini. 

- Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.