Tuesday, April 28, 2015

#PrkRompin : PAS Cuba Pelawa Tun Mahathir Kongsi Pentas Ceramah

pilihanraya kini     11:59 AM    



Selepas hasrat untuk berdebat dengan Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan tidak kesampaian, PAS cuba mempelawa Tun Dr Mahathir Mohamad untuk ‘berkongsi pentas ceramah’ dengan parti itu di Rompin.

Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, pelawaan itu dibuat selepas bekas Perdana Menteri itu ‘turun padang’ baru-baru ini untuk membicarakan isu-isu semasa berkaitan kepincangan pentadbiran kerajaan sedia ada.

“Beliau buat ‘jelajah’ satu negara untuk jumpa rakyat bagi menjelaskan bagaimana Perdana Menteri gagal memimpin negara dengan baik.
“Jadi saya sebagai Naib Presiden PAS mempelawa Tun Mahathir bersama-sama kami dalam PRK Rompin ini. Kalau beliau mahu berkongsi pentas silakan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ceramah PAS di Kampung Piangu di sini yang dihadiri kira-kira 50 orang, malam Isnin.

Sebelum ini, Dr Mahathir menyampaikan ucapan mengenai isu dan persoalan berbangkit berhubung pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi Program Bicara Negarawan anjuran badan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah program turun padang pertamanya untuk berbicara secara langsung mengenai isu-isu semasa yang mana sebelum ini kebanyakan persoalan mengenai kepimpinan Perdana Menteri disentuhnya menerusi tulisan di laman blognya atau sidang akhbar.

Menurut Salahuddin, Dr Mahathir adalah seorang tokoh politik yang dihormati, justeru kehadirannya akan membuka mata rakyat mengenai situasi yang melanda negara pada hari ini.

Pada ceramah itu, PAS turut mempersoalkan mengenai kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu yang dibicarakan tanpa mendedahkan motif sebenar pembunuhan tersebut.

Malah, isu Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), Felda dan kehadiran kebanyakan pemimpin Umno ke Rompin membantu calon antara senjata yang digunakan PAS untuk menyerang BN pada PRK kali ini. 

– Mstar

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.