Wednesday, April 22, 2015

#PrkRompin : Satu Lawan Satu Di Rompin!

pilihanraya kini     1:53 PM    



Pilihan Raya Kecil (PRK) Rompin akan menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Barisan Nasional (BN) dan PAS, selepas hanya dua calon menyerahkan borang pencalonan di Pusat Penamaan Calon di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, Rompin, pagi ini.

Pegawai Pengurus Pilihan Raya Datuk Fadzilla Salleh mengumumkan nama calon yang bertanding pada PRK ini selepas proses penamaan calon ditutup pada jam 10 pagi.

Calon daripada PAS, Nazri Ahmad menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.04 pagi diikuti calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin pada jam 9.07 pagi.

PRK Rompin diadakan berikutan penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Jamaluddin mengekalkan kerusi yang disandangnya hampir 6 penggal itu setelah mengalahkan bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Nuridah Mohd Salleh dengan majoriti 15,114 undi.

PRK Parlimen Rompin adalah pilihan raya kecil ke-9 selepas PRU13 yang berlangsung pada 5 Mei 2013.

Parlimen Rompin mempunyai 53,294 pengundi berdaftar terdiri daripada 52,744 pengundi biasa, 545 pengundi awal dan lima pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara.

Pengundian awal akan diadakan pada 30 April dan pengundian sepenuhnya pada 5 Mei ini.


 Bernama




0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.