Sunday, April 26, 2015

#PrkRompin : Semua Tak Layak ! - CMK

pilihanraya kini     2:34 AM    




Penduduk Rompin kehilangan ‘peluang emas’ untuk memilih wakil yang mampu menjaga kebajikan mereka, dakwa calon yang ditolak, Mohd Shukri Mohd Ramli.

Penulis blog yang menggunakan nama pena ‘Cucu Mat Kilau’, mendakwa calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin adalah ‘tokoh korporat’ yang hanya mementingkan keuntungan, manakala calon PAS, Nazri Ahmad hanya dipilih untuk kepentingan partinya saja.

“Sesiapa pun yang menang, penduduk Rompin tetap kalah,” kata Mohd Shukri atau CMK, awalan untuk nama penanya, kepada The Rakyat Post.

Rabu lalu, Mohd Shukri mengoyakkan kertas pencalonannya selepeas permohonan sebagai calon, ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya.

Suruhanjaya Pilihanraya berkata, ahli perniagaan dari Kuantan itu gagal mengepilkan bersama laporan kewangan ketika bertanding sebagai calon bebas untuk kerusi DUN Semambu dalam Pilihan Raya Umum ke-13.


Mohd Shukri kemudian menerima kenyataan dan menganggap bahawa apa yang berlaku itu bukan rezekinya.

“Walau bagaimanapun, penyokong saya yang kebanyakannya Orang Asli marah dan menuduh saya dibeli, tetapi saya sudah jelaskan kepada mereka,” katanya.

Dia turut mendakwa, ada yang takut dia akan berjaya memecah belahkan pengundi sekiranya bertanding, terutama sekali apabila ada yang bimbang isu cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan mampu mempengaruhi pengundi.

Walaupun generasi kedua peneroka FELDA yang berusia 44 tahun itu mungkin kalah sebelum bertanding, dia tidak pun menyerah kalah.

Mohd Shukri berkata, dia mungkin akan memberi “ceramah” dan ia terbuka kepada mana-mana parti yang mahu menjemputnya.

“Saya tidak akan menyerang BN atau PAS. Ceramah saya adalah mengenai isu-isu yang melibatkan rakyat.”

Pilihan Raya Kecil Rompin diadakan selepas penyandangnya, Tan Sri Jamaluddin Jarjis terbunuh dalam nahas helikopter pada 4 April lalu.





0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.