Wednesday, April 8, 2015

RBC: RM43.15 juta geran untuk usahawan belia - Shafie Apdal

pilihanraya kini     9:40 AM    


Sebanyak RM43.15 juta dalam bentuk geran diperuntukkan kepada 54 usahawan belia yang telah memenangi pertandingan Cabaran Perniagaan Luar Bandar (RBC) dalam tempoh tiga tahun sejak 2012.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM8.5 juta diberikan kepada 11 pemenang pada 2012, RM17.65 juta diberikan kepada 20 pemenang pada 2013 dan RM17 juta kepada 23 pemenang 2014.

“Penganjuran RBC telah membantu memperkasakan sektor keusahawanan belia di luar bandar dengan meningkatkan pendapatan sedia ada selain membuka peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.

“Buktinya, melalui 54 pemenang yang kita peroleh melalui RBC, sebanyak 623 peluang pekerjaan dan 314 usahawan baharu telah diwujudkan. Inilah hasil limpahan yang kita dapat daripada program ini,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan asal Dr. Mansor Abd Rahman (BN-Sik) yang ingin tahu mengenai inisiatif kepada golongan belia luar bandar melalui pertandingan RBC serta jumlah usahawan belia yang telah dilahirkan.


Menurut Mohd. Shafie, sambutan penyertaan program berbentuk pertandingan penyediaan Rancangan Perniagaan (RP) dalam kalangan belia itu meningkat 212 peratus pada 2014 iaitu sebanyak 771 penyertaan daripada 247 penyertaan pada 2013.

Beliau berkata, penyertaan pada tahun ini dijangka meningkat apabila pelbagai aktiviti promosi dan publisiti melalui pelbagai saluran media dilakukan termasuk program realiti televisyen RBC yang telah mencapai sehingga 811,000 capaian.


“Kementerian dari semasa ke semasa turut mempromosikan RBC kepada pelbagai agensi persekutuan dan negeri agar maklumat mengenai program ini dapat di­sampaikan kepada usahawan di bawah bimbingan agensi-agensi berkenaan.

“Kementerian juga memper­kenalkan laman web www.rbc.my yang menyediakan maklumat berkaitan program, pertandingan yang dianjurkan serta maklumat pemenang-pemenang termasuk maklumat perniagaan,” katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.