Thursday, April 30, 2015

‘Sabotaj’ Penentu Keputusan #PRKRompin

pilihanraya kini     8:24 AM    




Faktor sabotaj dari dalam dijangka akan memainkan peranan utama dalam menentukan kemenangan parti yang bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Rompin dan Permatang Pauh, kata penganalisis politik Bridget Welsh.

Faktor tersebut juga akan menentukan sejauh mana majoriti pemenang dalam PRK kali ini berjaya dikurangkan, kata penyelidik kanan Pusat Kajian Demokratik Asia, Universiti Kebangsaan Taiwan itu.

"Di Rompin, faktor sabotaj dari dalam Umno sendiri akan menentukan sama ada PAS akan menang atau tidak, manakala di Permatang Pauh, faktor sabotaj dari PAS, rakan PKR, akan menjadi penyumbang menentukan calon PKR menang atau tidak," kata Welsh kepada The Malaysian Insider.

Pandangan Welsh ini diberikan berikutan masalah perpecahan dalaman yang melanda parti yang bertanding serta rakan masing-masing dalam kedua-dua PRK ini yang akan berlangsung bulan depan.

Baginya, jika serangan bekas presiden Umno Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Datuk Seri Najib Razak cukup berkesan, calon BN Datuk Hasan Arifin boleh kalah di Rompin pada PRK 5 Mei ini, di samping beberapa faktor lain.

Di PRK Permatang Pauh pada 7 Mei pula, katanya, jika sabotaj yang cuba dilakukan Pemuda PAS Pulau Pinang terhadap calon PKR berjaya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail boleh kalah di sana.

Bagaimanapun, Pemuda PAS Pulau Pinang hari ini memutuskan tidak meneruskan cadangan yang dilihat seperti memboikot itu dan mengumumkan akan membantu memenangkan PKR dalam kempen PRK itu.

Sokongan PAS di Permatang Pauh dianggap penting, berdasarkan bilangan pengundi di kawasan Parlimen tersebut.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon PAS di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Pasir, Datuk Salleh Man, yang paling banyak memberikan undi majoriti kepada calon PKR ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar mendapat 37,090, calon BN Dr Mazlan Ismail mendapat 25,369 undi manakala calon bebas, Dr Abdullah Zawawi Samsudin mendapat hanya 201 undi. Anwar menang dengan majoriti 11,721 undi.

Salleh Man menang dengan majoriti 6,826 undi manakala calon PKR di DUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahadin, hanya menang majoriti 2,459 undi dan calon PKR di DUN Penanti, Norlela Ariffin, menang dengan majoriti 2,339 undi sahaja.

"Jika mereka tidak lagi mengundi Anwar, kerana sabotaj ini, Dr Wan Azizah pun boleh kalah," kata Welsh merujuk kepada pengundi PAS di Permatang Pasir.

Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah sebelum ini mengarahkan semua jentera pemuda PAS direhatkan dari memberikan sokongan untuk calon PKR di Permatang Pauh.

Turut membuat kenyataan sama ialah Yang Dipertua PAS kawasan Permatang Pauh, Omar Osman. Bagaimanapun, selepas perbincangan dengan PAS Pusat, beliau membuat pusingan-U dan kembali menyokong calon PR itu.

Dalam masa sama, serangan Dr Mahathir terhadap Najib juga dipercayai memberi kesan kepada calon BN di Permatang Pauh, di samping di Rompin.

Isu yang paling hangat diperkatakan Dr Mahathir ialah mengenai skandal dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

"Serangan Dr Mahathir dan Pemuda PAS ini boleh dikira sebagai tindakan sabotaj kepada parti atau rakan masing-masing," Welsh membuat kesimpulan. – 29 April, 2015.

Sumber : http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/faktor-sabotaj-penentu-keputusan-prk-rompin-dan-permatang-pauh#sthash.CbhrGorx.dpuf

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.