Monday, April 27, 2015

#PrkRompin : Tujuh Ceramah Politik Di Kesan Tiada Permit

pilihanraya kini     11:30 AM    




Tujuh ceramah politik yang diadakan oleh kedua-dua parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin dikesan diadakan tanpa permit sejak Rabu hingga semalam.

Ketua Pusat Media PRK Parlimen Rompin Supt Abdul Aziz Mahmud berkata kedua-dua parti itu melanggar peraturan di bawah Seksyen 24b(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 iaitu menjalankan ceramah tanpa permit dalam PRK.

Pihak polis hanya meluluskan lima permit ceramah dalam tempoh tersebut, katanya dalam kenyataan di Rompin hari ini.

"Hasil pemantauan polis didapati 12 ceramah diadakan, ini menunjukkan 7 ceramah dijalankan tanpa permit dan parti yang bertanding masih tidak mematuhi arahan.

"Jika mereka didapati bersalah hukumannya tidak lebih satu tahun penjara atau denda tidak melebihi RM3,000 atau kedua-duanya sekali," katanya.

Sebelum ini, pihak polis mengingatkan parti politik yang bertanding supaya memohon permit sebelum mengadakan program atau ceramah.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad, bagi mengisi kekosongan kerusi itu berikutan kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas. 

– Bernama


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.