Monday, April 13, 2015

Yayasan Pesara : Perjuang Kebajikan Pesara - PM

pilihanraya kini     3:36 PM    




Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata penubuhan Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia merupakan wadah bagi memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pesara-pesara kerajaan.

Beliau berkata sebuah organisasi diperlukan untuk menjadi perantara antara pesara dan kerajaan yang boleh diajak berunding bagi merumus sesuatu supaya kesejahteraan pesara dapat dipertimbangkan oleh kerajaan mengikut kemampuannya.

"Penubuhan ini bukan (membincangkan) soal menambah pencen semata-mata walaupun ia akan dibangkitkan dari semasa ke semasa. Sistem pencen di negara kita adalah antara yang terbaik di dunia sebab itu hari ini ramai yang ingin menjadi penjawat awam.

"Melalui penubuhan yayasan ini, kita boleh bertemu dengan semua pesara kerajaan dan ini menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat dan (utamakan) kepentingan para pesara," katanya pada majlis pelancaran Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia di sini hari ini.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengerusi Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia Tan Sri Aseh Che Mat dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Yayasan itu menaungi 25 buah persatuan dan kelab pesara yang akan menjadi penyelaras antara pesara dan kerajaan.

Pada majlis itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut merasmikan mesyuarat agung Kelab Umno Pesara Kanan Kerajaan.

Selain isu elaun dan pencen, Najib berkata soal perumahan dan kesihatan harus dibincangkan 'dari hati ke hati' bagi melindungi kebajikan penjawat awam selepas mereka bersara.

"Satu badan sosial juga harus diwujudkan kerana tiada sesuatu yang lebih menekankan jiwa apabila bersara, seolah-olah dunia telah melupakan kita.

"Saya tahu, para pesara kerajaan ini siapa lagi akan membantu melainkan kerajaan... saya lebih suka tuan-tuan dan puan-puan cari saya daripada (mencari) orang lain.

"Saya berharap melalui pelancaran yayasan ini akan wujud hubungan yang lebih mesra antara pesara dan kerajaan serta kebajikan pesara akan lebih terbela," katanya.

Najib juga mengumumkan kelulusan RM5 juta sebagai geran permulaan bagi yayasan itu.

"Kalau ada projek dan program yang baik, tentu yayasan ini akan kemukakan kepada kerajaan untuk diberi pertimbangan," katanya.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.