Tuesday, May 5, 2015

Ahmad Shabery Mahu Formula 'Beli RM10, Dapat RM10' Untuk Kad Prabayar Telefon #PRKPermatangPauh

pilihanraya kini     1:59 AM    


4 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata beliau akan berusaha memastikan rakyat dapat menikmati pembelian kad tambah nilai prabayar telefon dengan formula 'beli RM10, dapat RM10'.

Menurutnya, pendiriannya itu akan diketengahkan dalam pertemuannya dengan peneraju syarikat-syarikat telekomunikasi di negara ini sebelum dibawa ke Kabinet untuk keputusan seterusnya.

"Saya bertanya kepada rakyat (pandangan mereka) dan rakyat hendakkan beli (kad prabayar) RM10, bila diaktifkan dapat RM10.

"Sebab itu saya ambil keputusan di sini (mengenai formula itu) oleh kerana ia kehendak rakyat. Saya akan ikut apa rakyat nak," kata Ahmad Shabery dalam program Edisi Khas 'Suara Kita Hak Kita' terbitan RTM yang disiarkan secara langsung di TV1 malam ini.

Ahmad Shabery, yang ditugaskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengendalikan isu berkaitan kad tambah nilai prabayar susulan pengenalan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), mengupas topik '#Topup: Apa Masalahnya?' dalam program yang berlangsung kira-kira sejam itu.

Ahmad Shabery seterusnya mengakui wujud kekeliruan dan percanggahan kenyataan dalam isu itu, oleh yang demikian, beliau memohon maaf.

"Ini sistem baharu, ada teething problems. InsyaAllah kalau salah, kita akui salah. Yang perlu dibaiki, kita baiki," katanya sambil memohon kesabaran rakyat untuknya menyelesaikan masalah yang timbul.

Beliau menjelaskan sehingga perkara itu diputuskan dalam masa terdekat, jualan kad prabayar telefon akan dibuat menggunakan harga sekarang iaitu dengan tambahan enam peratus CBP.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia sebelum ini mengarahkan syarikat telekomunikasi agar menetapkan semula harga kad prabayar telefon kepada harga asal iaitu seperti sebelum pelaksanaan CBP pada 1 April.

Namun, arahan yang sepatutnya berkuatkuasa 1 Mei itu ditangguh selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia membuat kenyataan bahawa agak mustahil perkara itu dilaksanakan kerana kerumitan untuk membuat konfigurasi semula pada sistem bagi menyelaraskan harga jualan.

Berhubung formula 'beli RM10, dapat RM10' itu, Ahmad Shabery yang menganggap tugas menyelesaikan isu harga kad prabayar sebagai satu cabaran, mengharapkan kesediaan syarikat telekomunikasi untuk memahami hasrat itu.

Beliau menegaskan bahawa seperti mana kerajaan, syarikat telekomunikasi juga perlu sensitif kepada kemahuan rakyat memandangkan bidang perniagaan yang mereka ceburi sememangnya memerlukan sokongan orang ramai.

Menteri itu menghuraikan apa yang menjadi harapan rakyat iaitu aspek mampu milik (affordability) serta kualiti perkhidmatan dan pengalaman ketika menggunakan perkhidmatan yang disediakan (quality of service and quality of experience).

Pada masa sama, Ahmad Shabery berkata kedua-dua aspek itu hanya akan dapat dipenuhi apabila sektor telekomunikasi mempunyai infrastruktur yang baik, dan ini memerlukan syarikat telekomunikasi yang 'sihat' dalam memenuhi tuntutan itu.

Ini kerana, penyediaan infrastruktur komunikasi termasuk jalur lebar memerlukan pelaburan yang amat besar, katanya.

Ahmad Shabery menegaskan bahawa jalur lebar sepatutnya menjadi hak asasi rakyat dan bukan sekadar satu kemudahan.

Mengimbau pengalamannya ketika berada di beberapa buah kampung di Rompin, Pahang, beliau diberitahu anak-anak muda yang belajar di bandar keberatan untuk pulang kerana tiada kemudahan internet di kampung mereka.

"Insaf saya kerana pada waktu sekarang perkara seperti itu tidak boleh diterima," katanya sambil menambah menjadi tanggungjawabnya memastikan semua rakyat di negara ini dapat menikmati kemudahan jalur lebar.

Beliau turut membayangkan penyediaan pakej-pakej khas perkhidmatan prabayar kepada golongan tertentu seperti pelajar dan mereka yang berpendapatan rendah.

Dalam pada itu, beliau menarik perhatian bahawa ekonomi sektor prabayar adalah besar dengan hasil kira-kira RM15 bilion setahun.

Menurutnya, ia merupakan satu ekosistem yang rumit kerana melibatkan banyak pihak seperti syarikat telekomunikasi, pembekal dan pengedar perkhidmatan, dan sebarang pertukaran sistem akan mengambil masa untuk diselesaikan.

Terdahulu, ditanya perasaannya apabila diminta Najib untuk mengendalikan isu kad prabayar, Ahmad Shabery berkata beliau terkejut ketika dimaklumkan tentang tugas itu.

"Arahan beliau (Najib) tunjukkan beliau mahu seluruh menteri berada dalam keadaan siap sedia untuk menghadapi perkara seperti ini," katanya.

Ahmad Shabery berkata, ini menunjukkan bahawa kerajan serius menangani apa juga isu yang mempunyai kepentingan rakyat.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.