Monday, May 18, 2015

BN Boleh Menang PRU Akan Datang Jika Dapat Sokongan - Najib

pilihanraya kini     10:30 AM    


Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) boleh memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang jika beliau mendapat sokongan bagi meneruskan program transformasi, selain parti-parti komponen kekal bersatu.

"Jika kita memberi tumpuan kepada politik membina dan bukannya politik yang merosakkan, kita akan berjaya. Jika kita memberi tumpuan kepada kerja dan bukannya mempercayai dan menyebarkan khabar angin, putar belit dan perkara separuh benar, kita akan berjaya," kata beliau dalam catatan terbaharunya dalam blog NajibRazak.com hari ini.

Dalam catatannya itu, Najib menyenaraikan 13 tuduhan dan dakwaan yang dilemparkan terhadapnya dan kerajaan, selain memberi maklum balas beliau berhubung perkara itu.

Antara isu berkenaan ialah mengenai kematian wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) serta tindakan afirmatif untuk Bumiputera.

Najib berkata walaupun semua orang bebas mengkritik dan menyenaraikan semua 'kegagalan' beliau, adalah penting juga untuk mereka menyedari "sejauh mana pencapaian kita dalam tempoh enam tahun lepas, dalam usaha memberikan pandangan yang adil mengenai sesuatu."

Najib berkata "penambahbaikan sedang berlaku di depan mata kita" tetapi beliau tahu bahawa ramai akan melihat kepada yang buruk dan terus bercakap mengenai khabar angin, perkara separuh benar dan putar belit yang tidak berkesudahan.

"Mereka terus percaya bahawa 'akhir amat dekat' dan bahawa pembangkang akan menang. Ia merupakan dakwaan yang dibuat berulang-ulang kali dalam tempoh lima dekad yang lalu, namun kita masih di sini," kata Presiden UMNO itu.

Najib berkata Program Transformasi yang dilancarkan pentadbirannya lima tahun lepas mula menampakkan impaknya dan "inilah yang benar-benar penting buat rakyat".

"KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) kita meningkat kira-kira 5-6 peratus sejak saya mengambil alih (jawatan) dan kita juga berada di landasan baik untuk mencapai ekonomi maju menjelang 2020," kata beliau.

Walaupun berdepan halangan pada masa ini disebabkan oleh kejatuhan harga minyak mentah yang melemahkan nilai Ringgit, "namun begitu, kita dapat bertahan kerana asas kita kukuh, rizab terkumpul dalam tahun-tahun sebelum ini serta aliran pendapatan yang pelbagai berbanding penggantungan kepada minyak," jelas Najib yang juga Menteri Kewangan.

Najib juga berkata bahawa Malaysia "telah mencapai skor bebas terbaik yang pernah dicatatkannya bagi rasuah dalam tempoh 10 tahun lepas berdasarkan Indeks Transparency International".

"Pentadbiran saya menyaksi Pelaburan Langsung Asing yang paling tinggi setakat ini. Nisbah hutang kepada KDNK kita menyusut dalam pertumbuhan dan defisit bajet kita semakin berkurangan dari tahun ke tahun," kata beliau.

Najib berkata selain itu, Malaysia mencapai tahap tertinggi dalam indeks ekonomi paling berdaya saing Forum Ekonomi Dunia (WEF) dengan mengatasi Australia, Perancis, Austria dan Korea Selatan.

"Kita mencapai tahap paling tinggi dalam indeks kemudahan menjalankan perniagaan Bank Dunia. Ketiga-tiga agensi penarafan kredit utama juga mengekalkan gred pelaburan yang baik untuk Malaysia," katanya.

Perdana menteri berkata Malaysia terus mempunyai lebihan dalam perdagangan, dan penjagaan kesihatan diiktiraf sebagai antara yang terbaik dan paling berpatutan di rantau ini.

Najib berkata kebanyakan projek untuk rakyat juga berjalan lancar termasuk penyerahan rumah-rumah mampu milik PR1MA, selain ekonomi turut membuka peluang 1.5 juta pekerjaan baharu dalam 5 tahun lepas yang menjadikan kadar pengangguran Malaysia adalah yang paling rendah di dunia.

Greater KL juga telah dimulakan dengan lebih banyak kawasan perbandaran sedang dibangunkan selain rumah-rumah dalam pembinaan dan koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia pula menyaksikan infrastruktur, rumah, kilang dan kawasan komuniti maju sedang giat dibina.

Selain itu, lebuh raya Pan Borneo akhirnya dilaksanakan dan bakal menjadi pemangkin ekonomi utama di Sabah dan Sarawak seperti lebuh raya PLUS untuk Semenanjung, kata beliau.

"Ini semua adalah projek, inisiatif dan usaha yang dijalankan pentadbiran saya untuk membangunkan negara ini. Seperti yang anda lihat, ini adalah hasil Program Transformasi yang dilancarkan 5 tahun lepas. Ia akhirnya berlaku dan saya amat teruja bahawa kita mula melihat impaknya. Inilah yang benar-benar penting buat rakyat," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa pencapaiannya sebagai presiden UMNO adalah lebih buruk berbanding Tun Abdullah Ahmad Badawi, Najib berkata pada PRU13, BN menang di 11 negeri berbanding 9 pada PRU sebelumnya.

"Kita mendapat balik Kedah, kekal di Terengganu dan mengukuhkan kedudukan di Perak. UMNO memenangi lebih banyak kerusi pada PRU13 berbanding pada PRU12," kata beliau.

Najib berkata dalam usaha memulihkan BN sepenuhnya, beliau memerlukan masa, dan impak daripada Program Transformasi dapat memberi jaminan kepada rakyat bahawa kerajaan BN mampu mengotakan janji-janjinya.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.