Monday, May 18, 2015

Ekonomi Malaysia Tumbuh 5.6 Peratus Suku Pertama 2015 : Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz

pilihanraya kini     9:33 AM    


Prestasi ekonomi Malaysia pada suku pertama tahun ini direkodkan bertumbuh pada kadar 5.6 peratus, lebih perlahan berbanding suku sama tahun lalu dengan 6.3 peratus.

Pertumbuhan itu dipacu oleh permintaan domestik yang tumbuh 7.9 peratus. Gabenor Bank Negara Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz berkata, penggunaan swasta berkembang pada suku pertama disebabkan sentimen sebelum pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Penggunaan swasta dijangka terjejas sedikit bagi suku seterusnya disebabkan pelaksanaan cukai berkenaan, tetapi akan kekal disokong pertumbuhan gaji dan peluang pekerjaan.
“Berdasarkan pengalaman negara yang melaksanakan GST mengalami penyederhanaan dalam kadar penggunaan, namun ia bersifat sementara. Suku ke dua dan ke tiga (2015) akan menyederhana,” kata Dr Zeti.

Bagi eksport suku pertama, bagaimanapun, turun 2.5 peratus dipengaruhi kelemahan eksport komoditi serta eksport pembuatan berasaskan sumber. Dr Zeti berkata inflasi suku pertama berada pada 0.7 peratus, menurun disebabkan penurunan harga bahan bakar.

“Inflasi diramal terus meningkat disebabkan pelaksanaan GST,” katanya ketika mengumumkan prestasi ekonomi suku pertama hari ini.

Beliau berkata nilai ringgit terus tidak menentu disebabkan ketidaktentuan harga minyak dunia, bagaimanapun unit tempatan itu meningkat sedikit pada April.

“Mata wang serantau terus tidak menentu disebabkan persekitaran monetori global tidak menentu serta kebimbangan tentang unjuran ekonomi dunia,” katanya.

Bagi hutang isi rumah pula, Dr Zeti berkata ia tumbuh 9.2 peratus suku tersebut dengan kadar pinjaman tidak berbayar pada 1.2 peratus.

Dalam perkembangan berasingan Dr Zeti berkata bank pusat akan melakukan penilaian baru bagi sasaran inflasi dan penggunaan sekiranya harga minyak dunia melebihi USD70 setong. 

"Kini julat dalam sasaran kami adalah USD55 hingga USD65 setong,” katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.