Monday, May 18, 2015

Graduan Selfie Tak Digantung, Perlu Mohon Maaf - Naib Canselor UiTM

pilihanraya kini     9:28 AM    


Muhammad Hasrul Haris Mohd Radzi, graduan jurusan Diploma Fotografi dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak digantung pengajian, sebaliknya diberi tempoh seminggu supaya memohon maaf di atas perbuatannya berselfie ketika Istiadat Konvokesyen UiTM Ke-82 baru-baru ini.
Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata, ketetapan itu dibuat kerana perbuatan graduan itu  memalukan dan dianggap tidak menghormati etika majlis tersebut.
"Kami beri dia tempoh seminggu untuk meminta maaf... perbuatannya itu ternyata memalukan UiTM.
"Tidak ada istilah gantung pengajian, macam mana dia boleh digantung sedangkan dia sudah tamat pengajian. Semua itu tidak benar. Dia hanya perlu minta maaf bagi membersihkan nama UiTM dan selepas itu dia akan dapat skrol diplomanya," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Ahad.
Pada masa sama, Prof Dr Sahol turut menyangkal laporan sebuah akhbar harian yang memetik beliau sebagai berkata, graduan berusia 21 tahun itu digantung pengajian selama setahun atau dua tahun di atas perbuatannya.
Terdahulu, gambar selfie Muhammad Hasrul bersama Prof Canselor UiTM, Tan Sri Dr Arshad Ayob menjadi viral di laman sosial baru-baru ini menerima kritikan ramai.
Bagaimanapun, menerusi laporan akhbar sama, Muhammad Hasrul dikatakan memohon maaf di atas perbuatan yang dilakukan secara tidak sengaja kerana begitu teruja untuk menerima segulung diploma.
"Saya minta maaf jika tindakan saya ‘selfie’ atas pentas ketika istiadat konvokesyen berlangsung memalukan UiTM, saya tidak mampu mengawal perasaan teruja dan seronok selepas menerima segulung diploma,” katanya.
Malah, Muhammad Hasrul berkata idea untuk berselfie di atas pentas itu datang setelah dia melihat majlis konvokesyen dari sebuah universiti tempatan yang menampilkan para graduannya melakukan aksi tarian ketika mengambil skrol.
Menurutnya, sebagai graduan jurusan Fotografi, berselfie merupakan simbolik untuk jurusan tersebut.
“Saya fikir tindakan itu tidak salah, mengambil gambar selfie juga simbolik untuk pelajar jurusan fotografi.
“Tidak salah untuk saya ‘merakam’ detik bersejarah dalam hidup selepas bertungkus-lumus selama dua tahun setengah untuk mendapat segulung diploma,” katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.