Friday, May 1, 2015

Jentera Puteri Umno Giat Gempur PRK Permatang Pauh, Rompin

pilihanraya kini     4:38 PM    


Gerak kerja Pergerakan Puteri UMNO kini sedang giat membantu jentera Barisan Nasional (BN) menggempur kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh dan Rompin, kata Ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Beliau berkata gerak kerja jentera Puteri UMNO berjalan lancar dan semakin aktif menjalankan pelbagai aktiviti sepanjang proses berkempen bagi meraih undi selain menerangkan pelbagai isu semasa dan terkini.

"Aktiviti kami berjalan dengan baik dan menghidupkan setiap Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan mereka mempunyai inisiatif sendiri mengedar bahan kempen.

"Kita juga turunkan dua buah lori di setiap PRK...walaupun tidak buat ceramah besar-besaran namun program 'adhoc' boleh dilaksanakan dengan lori-lori ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas penyerahan peruntukan kepada 47 sekolah di Parlimen Masjid Tanah di sini.

Sebanyak 38 sekolah rendah menerima peruntukan sebanyak RM1,000 manakala sembilan sekolah menengah menerima peruntukan RM1,500.

Mengulas lanjut Mas Ermieyati berkata gerak kerja bukan sahaja tertumpu kepada pengundi muda, malah jentera turut tertumpu kepada pengundi veteran selain terlibat dalam pengendalian sistem teknologi maklumat (IT) dan pusat panggilan.

Beliau juga meminta pengundi agar berfikir secara matang dan membuat pilihan bijak dalam PRK kali ini serta memilih BN bagi menggantikan PKR yang suka memainkan perasaan rakyat di Permatang Pauh.

"Walaupun didatangi dengan pelbagai isu terutamanya isu Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), saya yakin jentera penerangan sedang melipatgandakan usaha untuk bertemu rakyat dan menerangkan isu terkini," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Mei sebagai hari pengundian bagi PRK Parlimen Permatang Pauh dan 5 Mei bagi pengundian di Parlimen Rompin.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.