Monday, May 18, 2015

PLKN Bakal Kembali Januari Depan

pilihanraya kini     9:22 AM    



Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) akur dengan keputusan menangguhkan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan percaya ia akan dilaksanakan semula tahun depan seperti dijanjikan.

Ketua Pengarah JLKN, Datuk Mohmed Asri Yusof berkata semua pihak berkepentingan secara dasarnya telah bersetuju dengan tempoh penangguhan program ini.

"Kita telah berbincang panjang mengenai perkara ini dari awal pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa penangguhan itu untuk beri peluang kepada PLKN melakukan transformasi.

“Apa yang kita rancang adalah menganjurkan balik program ini pada Januari tahun depan. Setahun sahaja tangguh jika Perdana Menteri tak buat perubahan terhadap apa yang diumumkan dan kita akan berpandukan kepada keputusan kerajaan untuk tangguh setahun," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.


Menurut Mohmed Asri, tidak timbul lagi isu untuk memendekkan tempoh penangguhan, termasuklah kepada pengendali kem di seluruh negara kerana ia telah dimaklumkan terlebih dahulu dan mendapat persetujuan bersama.

Jelasnya, bayaran untuk pengendali kem sedang diproses oleh kerajaan setelah perbincangan dengan Kementerian Kewangan dijalankan.

“Bayaran telah dipersetujui dengan Kementerian Kewangan dan akan diuruskan dalam masa terdekat.

“Ia akan diselaraskan di antara jabatan dengan operator kem,” katanya.

Beliau menambah, dalam tempoh penangguhan, JLKN mempunyai perancangannya sendiri untuk melakukan transformasi terhadap program dan melakukan penambahbaikan apabila ia dilaksanakan semula.

“Lagipun pelatih yang diwartakan dahulu mungkin telah sambung belajar dan sebagainya, jadi kita kena pastikan pelatih baharu yang sesuai dengan program,” katanya.

Beliau menjelaskan, pembentangan hasil makmal yang melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk operator kem, jurulatih, wakil ibu bapa dan badan bukan kerajaan mengenai PLKN akan dilakukan pada 21 Mei ini.

“Saya sendiri akan hadir bersama beberapa pegawai jabatan.

"Kita fokus semua aspek, tetapi tumpuan kepada modul yang memberi impak maksima terhadap program tentukan akan diberi perhatian,” katanya.

Beliau berkata, pejabat pentadbiran di kem-kem di seluruh negara masih beroperasi seperti biasa dan bersedia untuk melaksanakan program apabila diumumkan kerajaan.

“Tak ada masalah cuma dari segi kewangan ia telah disalurkan kepada mangsa banjir. Apabila membuat pengambilan baharu ia sudah tentu melibatkan kos," katanya.

Pada Khamis, mStar Online melaporkan bahawa Persatuan Pengusaha Kem Latihan Khidmat negara (PPKN) merayu kepada kerajaan untuk menyegerakan pelaksanaan semula PLKN yang ditangguhkan.

Presidennya Datuk Seri Ahmad Kamel Ibrahim berkata, tempoh penangguhan perlu dipendekkan kerana kesannya telah mula dirasai oleh pengusaha kem dan pihak lain yang terlibat di seluruh negara.

Penangguhan PLKN diumumkan oleh Najib pada Januari lalu ketika membentangkan perkembangan ekonomi semasa dan kedudukan kewangan negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Langkah menangguhkan program tersebut dijangka menjimatkan dana kerajaan sebanyak RM400 juta.

Oktober tahun lepas semasa membentangkan Bajet 2015, Najib mengumumkan bahawa PLKN, yang telah melatih lebih 800,000 pelajar sejak diperkenalkan pada 16 Februari 2004, akan dikaji semula, selain memperkenalkan konsep baharu menjalinkan keperluan kemahiran dan kenegaraan.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.