Friday, May 1, 2015

#PRKPermatangPauh : Azwan Bro Nafi Kempen Pemuda UMNO Lambat

pilihanraya kini     4:22 PM    


Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun menafikan jentera Pemuda UMNO dari luar dan pusat kurang bergerak dan kurang melakukan kerja sepanjang kempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh.
Semalam, PRU14.tv menulis laporan berkaitan kempen Pergerakan Puteri UMNO yang bergerak aktif sekitar Permatang Pauh sementara jentera Pemuda UMNO pusat tidak kelihatan sejak hari penamaan calon.
Keseluruhan Exco Pergerakan Pemuda UMNO tidak kelihatan selepas Ketua mereka Khairy Jamaluddin pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai majlis berkenaan.

BACA – Pemuda UMNO Ligat Kempen, Pemuda UMNO Malaysia Mana? 

“Saya ingin menafikan perkara tersebut, kerana sebagai contoh saya sendiri, saya terpaksa berulang-alik antara Kuala Rompin dan Permatang Pauh, sudah tentulah sebagai Pengarah.. saya terpaksa juga berada di Rompin.
“Tapi hari ini kita tahu, jentera di sini sentiasa bergerak, mungkin pakej promosi gerak kerja tak dirasai sangat, tadi pun kita dah bermesyuarat dan kita sedang berusaha untuk mengemaskini cara kita berkomunikasi dengan agensi kerajaan dan juga rakyat keseluruhannya,” katanya.
Hari ini, Khairul Azwan bersama-sama kira-kira 100 orang penunggang motosikal dari Pemuda BN membuat program Ziarah Prihatin ke lima rumah warga emas di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Sama Gagah di Permatang Pauh.
Program berkenaan mula agak sedikit lewat pada pukul 6 petang biarpun dijadualkan pada kira-kira pukul 4.30 petang.
Ia berikutan mesyuarat Pemuda BN di Pulau Pinang di Bilik Gerakan Induk mereka yang dipengerusikan oleh Khairul Azwan berakhir sedikit lewat.
Beliau yang turut sama menunggang motosikal bergerak di sekitar Kampung Sama Gagah menziarahi lima buah rumah didiami warga emas untuk beramah mesra dengan pengundi di kawasan Parlimen P044 itu.
Barisan Nasional (BN) bertanding pada PRK berkenaan dengan calon mereka Suhaimi Sabudin berdepan calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah, calon Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon bebas Salleh Isahak.
Hari mengundi ditetapkan pada 7 Mei depan bagi mengundi pengganti Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh selepas disabitkan kesalahan meliwat dan dipenjarakan lima tahun.
 PRU14.tv 

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.