Saturday, May 2, 2015

#PRKPermatangPauh : BN Minta 3 Tahun Tunaikan Aku Janji

pilihanraya kini     8:34 AM    


Aku janji calon BN, Suhaimi Sabudin diterjemahkan melalui manifesto khas merangkumi enam bidang utama untuk dinikmati pengundi Permatang Pauh jika terpilih sebagai wakil rakyat pada 7 Mei ini.

Sehubungan itu, Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sendiri berjanji akan memantau pelaksanaan semua aku janji itu dengan bantuan kerajaan pusat, BN negeri dan Umno Permatang Pauh untuk penduduk di situ yang makin dahagakan pembangunan dan infrastruktur.

Ahmad Zahid berkata, semuanya akan dilaksanakan secara berperingkat dan mengikut keperluan sejajar dengan slogan BN 'Janji Ditepati' dan 'Kata Dikota'.

"BN akan laksana 100 peratus semua yang terkandung dalam dalam manifesto ini. Ini aku janji yang pasti dilaksanakan jika Suhaimi menang.

"Berilah peluang tiga tahun ini kepada BN laksana aku janji ini sebagai permulaan," katanya ketika melancarkan Manifesto BN PRK Permatang Pauh di sini, hari ini

Bercakap kepada media kemudian, Ahmad Zahid berkata, sebagai contoh, semua manifesto BN sewaktu PRK Teluk Intan dilaksanakan dalam tempoh sembilan bulan sahaja untuk kepentingan rakyat.

"Perkara yang sama akan dilakukan di Permatang Pauh jika pengundi memberi mandat kepada wakil BN yang mampu melaksanakannya kerana sentiasa berada dalam kawasan untuk memantau perkembangannya," katanya.

Menurutnya, keadaan mungkin berbeza jika pengundi memilih calon PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang kurang berupaya memberi komitmen sama ada di sini atau Dun Kajang.

"Agak sukar nak bahagi masa. Bila penduduk Permatang Pauh nak jumpa, pembantunya kata ada di Kajang tetapi penduduk Kajang cari untuk mengadu masalah, depa kata ada di sini.

"Tetapi akhirnya, pengundi dari kedua-dua kawasan tidak mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Manifesto BN menggariskan enam bidang iaitu ekonomi, pendidikan, kesihatan, program kesejahteraan rakyat luar bandar, pembangunan komuniti dan keselamatan.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.