Sunday, May 3, 2015

#PRKPermatangPauh : Calon Bebas ‘Ghaib’ Di Permatang Pauh

pilihanraya kini     2:33 PM    


Selepas lapan hari tempoh kempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh berlangsung, hampir semua parti-parti yang bertanding semakin serius dalam gerak kerja kempen mereka.

Namun begitu, senario yang berbeza berlaku bagi calon bebas tunggal dalam PRK tersebut iaitu Salleh Isahak.

Salleh dilihat tidak begitu menonjol dalam berkempen atau mengadakan ceramah serta begitu juga dengan poster dan kain rentang kempennya yang sukar untuk dilihat.

Ceramah atau ‘walkabout‘ dari Salleh atau wakilnya juga sukar untuk dikesan sama ada oleh pihak media mahu pun penduduk tempatan.

Kali terakhir Salleh berjumpa dengan pihak media adalah pada 27 April lalu bagi memperjelaskan mengenai dirinya yang didakwa disabotaj oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang beliau percaya telah memalsukan maklumat peribadinya.

Selepas daripada itu, tidak ada sebarang pertemuan yang dilakukan bersama pihak media atau bersama-sama pengundi di ketiga-tiga DUN dalam parlimen berkenaan.

Usaha untuk menghubunginya melalui panggilan telefon dan juga khidmat pesanan ringkas juga sentiasa tidak dijawab serta tidak mendapat respon.

Ketika mana calon Barisan Nasional dan PKR sedang rancak berkempen namun Salleh mengambil langkah yang sebaliknya.

Malah, calon dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) iaitu Azman Shah Othman yang berpusat di Sungai Petani, Kedah juga telah memulakan operasi kempen beliau.

Oleh itu, pengundi dan juga wakil media di Permatang Pauh masih lagi ternanti-nanti Salleh untuk melakukan ‘comeback‘ sementara tempoh kempen masih lagi berbaki empat hari.

Atau mungkin hari pengundian kelak akan menjadi hari terakhir susuk tubuh beliau akan dapat dilihat dalam PRK kali ini.-Suaratv

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.