Sunday, May 3, 2015

#PRKPermatangPauh : Cukuplah pengundi Permatang Pauh dipermainkan emosi

pilihanraya kini     2:25 PM    


"Cukuplah...kami pulak." Itu antara slogan calon Barisan Nasional (BN), Suhaimi Sabudin atau lebih mesra dengan panggilan Mie, bagi kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh. Ringkas tetapi cukup bermakna. 

Sesiapa saja boleh memahami mesej slogan di poster calon yang terpampang di segenap ceruk Permatang Pauh. Pastinya slogan itu bukan auta untuk syok sendiri mahupun bagi mengelirukan rakyat. Sudah terang lagi bersuluh.

 Faktanya, Permatang Pauh diwakili oleh Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas tiket Parti Keadilan sebelum ditukar kepada PKR, selama kira-kira 16 tahun. Dr Wan Azizah menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1999, 2004 dan 2008 atas dasar mempermainkan emosi dan simpati penduduk 

Permatang Pauh terhadap Anwar, bukan kerana khidmat dan jasanya kepada penduduk. Sepanjang menjadi wakil rakyat, beliau hanya sekali-sekala berada di Permatang Pauh dan kehadirannya lebih kepada untuk memenuhi undangan penduduk. Aktiviti masuk kampung dan bertanya khabar hanya pada musim pilihan raya. Adakah itu peranan wakil rakyat? 

Jalan cerita sama Kini, sekali lagi Dr Wan Azizah menawarkan diri menjadi wakil rakyat Permatang Pauh. Jalan ceritanya sama saja seperti kempen pada tiga PRU terdahulu, berjuang atas dasar emosi bagi meraih sokongan rakyat kononnya untuk keadilan, tetapi perjuangan sebenar adalah untuk suaminya. 

Pernahkah Dr Wan Azizah terfikir yang beliau sudah mengkhianati kepercayaan dan mandat penduduk Permatang Pauh apabila melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen kira-kira lima bulan selepas diberikan kepercayaan pada PRU 2008? Adakah beliau meminta pandangan rakyat sebelum melepaskan jawatan itu? Sudah tentu tidak. 

Sejak hari penamaan calon seminggu lalu, tiada apa tawaran yang boleh dibanggakan oleh PKR kepada penduduk Permatang Pauh, selain daripada membangkitkan isu peringkat nasional seperti Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Malah, PKR tiada manifesto untuk PRK ini.

 Dengan kata lain, Dr Wan Azizah tidak mempunyai perancangan untuk Permatang Pauh jika dipilih sebagai wakil rakyat. Inikah parti yang boleh orang Permatang Pauh harapkan untuk menjamin masa depan mereka? PKR mungkin bersandarkan harapan kepada kerajaan DAP Pulau Pinang untuk membantu. Persoalannya, sejauh manakah kerajaan negeri sedia membantu terutama penduduk di Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir yang menjadi kubu kuat PAS, yang selama ini menyokong PKR.

Dengan 'perang' di antara Ketua Menteri, Lim Guan Eng dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kesediaan kerajaan negeri untuk membantu kawasan Permatang Pasir yang secara perbandingannya lebih ketinggalan berbanding dua lagi DUN dalam Permatang Pauh, iaitu Penanti dan Seberang Jaya, adalah diragui. Sudah tiba masanya penduduk Permatang Pauh membuat penilaian secara rasional, bukan lagi dipengaruhi emosi. 

BN menawarkan calon terbaik pada PRK kali ini bagi membawa perubahan, bukan sahaja kepada Permatang Pauh, bahkan landskap politik negara. Bertemakan 'Melakar Sejarah Baharu', BN mampu membawa perubahan kepada penduduk Permatang Pauh selepas kira-kira 16 tahun terkepung dan dihantui permainan politik didalangi Anwar. 

Berdasarkan enam teras - ekonomi, pendidikan, kesihatan, program kesejahteraan rakyat luar bandar, pembangunan komuniti dan keselamatan - manifesto BN pada PRK kali ini mampu membawa perubahan kepada penduduk Permatang Pauh. Mampu laksana akujanji Dengan sokongan dan bantuan Kerajaan Persekutuan, Suhaimi, anak tempatan yang tahu selok-belok Permatang Pauh mempunyai keupayaan melaksanakan akujanji itu. 

Sejak tahun 1999, penduduk memberi kepercayaan kepada PKR tetapi apa kesudahannya? Mereka tidak boleh terus ditipu selama-lamanya dan perlu buka mata. Apa yang penting sekarang, orang Permatang Pauh sewajarnya memberi peluang kepada Suhaimi untuk membuktikan janjinya. Sama ada beliau mampu melaksanakannya atau tidak, beri peluang kepadanya selama kira-kira tiga tahun, yakni sehingga PRU-14. 

Jika ayam tambatan BN ini tidak mampu untuk melakukannya, penduduk Permatang Pauh boleh menggunakan kuasa mereka untuk menghukum Suhaimi sendiri atau siapa juga calon BN yang bertanding di Parlimen itu pada PRU-14. Janji BN bukan janji kosong dan yang pasti Suhaimi akan berusaha untuk mengotakan janjinya itu, seperti tertera dalam satu lagi slogannya: "Bagi Mie peluang, Mie akan buktikan".-BH

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.