Monday, May 4, 2015

#PRKPermatangPauh : Kebajikan Nelayan P.Pinang Dipinggirkan Kerajaan Pimpinan Pembangkang

pilihanraya kini     7:23 PM    


Kebajikan golongan nelayan Pulau Pinang dipinggirkan kerajaan negeri pimpinan pembangkang semata-mata untuk mendapatkan keuntungan daripada pembangunan negeri, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Datuk Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata banyak nelayan khususnya di Permatang Pauh menghadapi masalah seperti jeti nelayan tidak dibina, perkampungan nelayan terhakis untuk pembangunan selain mereka tidak mempunyai perumahan sendiri.

Katanya isu ini dibangkitkan para nelayan di Permatang Pauh dan meminta bantuan kerajaan pusat menyelesaikan masalah mereka.

"Kerajaan pusat sememangnya ada perancangan untuk membantu kebajikan nelayan-nelayan tetapi kita menghadapi kesukaran kerana kerajaan negeri mewujudkan syarat-syarat yang tidak munasabah untuk menggagalkan perancangan itu," katanya kepada Bernama selepas perjumpaan dengan wakil persatuan nelayan Seberang Jaya di sini Isnin.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri membenarkan sahaja perancangan kerajaan pusat melalui LKIM untuk mewujudkan perumahan nelayan sekiranya mereka benar-benar prihatin dengan nasib nelayan tempatan.

Irmohizam, yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO, berkata kerajaan pusat memperuntukkan RM250 juta dalam membantu kebajikan dan kehidupan para nelayan tempatan bagi 2015.

"Tetapi kami menghadapi kesukaran mendapatkan tanah yang sesuai untuk membina perumahan nelayan kerana segala proses yang melibatkan tanah perlukan kelulusan kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata kerjasama yang diberi kerajaan negeri juga agak dingin dan mereka mengenakan pelbagai syarat untuk menggagalkan projek kerajaan pusat.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengundi Permatang Pauh supaya mengambil kesempatan ini mengundi calon BN untuk masa depan khususnya para nelayan.

Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh 7 Mei menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Salleh Isahak (Bebas) dan Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia).

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.