Saturday, May 2, 2015

#PRKPermatangPauh : Manifesto BN penuhi keperluan penduduk – Zahid

pilihanraya kini     8:40 AM    


Manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dibuat berdasarkan kajian empirikal yang mengambil kira keperluan dan kehendak masyarakat di sini, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Pengarah Pilihan Raya Jentera BN itu berkata, BN mempunyai keupayaan untuk memenuhi segala aku janji yang terkandung dalam manifesto itu, berdasarkan rekod cemerlang selepas PRK yang lepas, dan turut disokong persetujuan daripada kepimpinan kerajaan pusat dan BN Pulau Pinang.
“Kami yakin ini bukan janji kosong, bukan janji kalau ada banjir kami datang tapi tak datang, bukan janji nak selesaikan masalah kesesakan jalan raya, tetapi dibiarkan.
“(Calon BN Suhaimi Sabudin) ini anak tempatan, yang akan tinggal di sini menjaga rakyat…saya sendiri sebagai pengarah di sini akan memastikan Putrajaya memantau rapi pelaksanaan segala aku janji, dibantu Tok Non (Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang Datuk Seri Zainal Abidin Osman,” katanya.
Beliau bercakap dalam sidang media selepas melancarkan manifesto BN yang bertemakan ‘Melakar Sejarah Baru’ di Pusat Operasi BN, di sini hari ini, lapor Bernama.
Selain Zainal Abidin dan Suhaimi, turut menghadiri majlis itu ialah Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel, Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Datuk Mah Siew Keong dan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said.
Manifesto BN menggariskan enam bidang tumpuan iaitu Ekonomi; Pendidikan; Kesihatan; Program Kesejahteraan Rakyat Luar Bandar; Pembangunan Komuniti dan Keselamatan.
Ahmad Zahid turut menegaskan kerajaan BN serius dalam memastikan proses penyaluran peruntukan kepada Parlimen Permatang Pauh konsisten sekiranya Suhaimi berjaya merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dan Naib Presiden UMNO, turut mengambil aku janji BN sewaktu PRK Teluk Intan tahun lepas sebagai contoh bagaimana BN komited dalam menepati janji.
“Sebagaimana saya katakan selain peruntukan Parlimen yang akan diberikan oleh kerajaan persekutuan, kami akan bantu dengan lebih banyak lagi peruntukan kepada beliau jika menang.
“Ini telah kami buktikan apabila selepas BN memenangi kerusi Teluk Intan… dalam tempoh sembilan bulan sahaja selepas kemenangan itu, kerajaan pusat dah dibentangkan kepada pengundi Teluk Intan,” katanya lagi.
Pada PRK Teluk Intan yang lepas, Mah menewaskan Dyana Sofea, yang juga setiausaha politik kepada penasihat DAP Lim Kit Siang dengan majoriti 238 undi.
Diminta mengulas mengenai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang sehingga kini masih belum menjanjikan sebarang manifesto kepada pengundi Permatang Pauh, Ahmad Zahid berkata, itu terpulang kepada rakyat untuk menilai.
“Terutama aku janji presiden PKR itu sewaktu bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang awal tahun lepas.
“Mereka boleh lancarkan manifesto tapi jangan sampai menipu rakyat, sedangkan (manifesto Kajang) dulu pun belum terlaksana sepenuhnya,” katanya.
PRK Permatang Pauh pada 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi (BN), Dr Wan Azizah (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.