Monday, May 4, 2015

#PRKPermatangpauh : Nepotisme Kini Sudah Jadi Amalan Biasa Dalam Parti Pembangkang - Mukhriz

pilihanraya kini     7:36 PM    


Parti-parti pembangkang dilihat tidak lagi segan silu untuk mengamalkan nepotisme dalam pimpinan parti mereka sedangkan suatu ketika dulu mereka sering mengatakan perkara tersebut berlaku dalam Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Mukhriz berkata ketika bapa beliau Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, Dr Mahathir bertindak mengharamkan anggota keluarganya terlibat dalam politik dari peringkat kawasan hingga nasional.

Katanya ini berbeza dengan ramai pemimpin parti pembangkang yang seolah-olah mahu membentuk dinasti dalam parti dan perkara itu telah menjadi satu kebiasaan dalam parti-parti pembangkang.

"Ayah saya dulu tak benar anggota keluarga terlibat secara aktif dalam politik. Kalau berniaga pula tak boleh libatkan kerajaan. Ayah saya jadi perdana menteri selama 22 tahun dan 35 tahun sebagai Anggota Parlimen.

"Ini menyebabkan abang-abang saya tidak dapat terlibat dalam politik. Saya sendiri pun kena tunggu ayah saya bersara pada 2003, baru dapat bertanding, itupun jawatan parti, lepas tu baru pilihan raya," katanya ketika berucap pada Program Kenduri Rakyat di Bilik Gerakan Pusat Daerah Mengundi Tanah Liat Mukim 9, di sini hari Isnin.

Menteri Besar Kedah itu berkata sejak dahulu parti-parti pembangkang sering mengatakan amalan nepotisme berlaku dalam BN dan UMNO, tetapi kini perkara itu lebih ketara dalam parti-parti mereka.

"Dulu kata kita macam-macam...tapi kalau tengok sekarang di sebelah mereka banyak berlaku amalan nepotisme seolah-olah kepentingan keluarga lebih penting daripada rakyat," katanya.

Bercakap mengenai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh Khamis ini dalam sidang media selepas itu, Mukhriz berkata beliau melihat sudah ada penduduk di Permatang Pauh yang menuntut untuk diadakan perubahan selepas 17 tahun kawasan Parlimen itu dikuasai PKR.

"Mereka faham walaupun ada isu-isu di peringkat nasional yang selalu dibangkitkan pembangkang, tetapi akhirnya bagi pengundi di sesuatu kawasan parlimen itu yang sepatutnya diberi keutamaan adalah tentang masalah yang timbul dalam kawasan mereka.

"Mereka mahukan wakil rakyat yang dapat selesaikan masalah mereka. Agak kelihatan ada gerakan atau gelombang yang menuntut perubahan ini berlaku di Permatang Pauh. Kita BN mampu menepati permintaan tersebut untuk pastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan khusus di Permatang Pauh. Kita ada keupayaan untuk selesaikan masalah yang mereka hadapi di sini," katanya.

Mukhriz berkata Kedah mempunyai pengalaman ditadbir oleh Pakatan Rakyat selama satu penggal, dan rakyat di Kedah telah dapat menilai perkhidmatan mereka yang banyak menabur janji tetapi setelah menang ia tidak dikotakan.

"Sedangkan bagi BN, AkuJanji kita amat-amat penting. Kami di Kedah (Kerajaan Negeri Kedah) sehingga kini kita masih laporkan semua janji PRU (Pilihan Raya Umum) lepas, sejak dua tahun lalu.

"Mana yang dah selesai, mana 'work in progress', mana yang belum mula.. bila nak mula. Ini janji yang kita diamanahkan untuk beri perhatian. Pengundi di Permatang Pauh patut ambil iktibar daripada apa yang berlaku di Kedah. Sudah sampai masanya, fikirkan kepentingan diri mereka sendiri, apa yang penduduk mahukan," katanya.

Beliau berkata jika rakyat mahukan suara mereka di Dewan Rakyat, sesiapa sahaja boleh menjadi wakil rakyat tetapi apa yang penting adalah kepentingan rakyat tempatan.

"Suara Parlimen dah ada 222 suara. Pembangkang pun dah ramai untuk mengimbangi suara BN. Itu sudah 'taken care off already'. Yang penting siapa yang dapat menjaga rakyat Permatang Pauh," katanya.

PRK Permatang Pauh 7 Mei ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.