Saturday, May 2, 2015

#PRKPermatangPauh : Polis panggil saksi salah laku PRK Permatang Pauh

pilihanraya kini     9:47 AM    


Polis akan mengambil keterangan saksi serta pihak terlibat dalam kes salah laku Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Permatang Pauh selepas hari mengundi 7 Mei ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, langkah itu dibuat bagi mengelak daripada mengganggu pihak atau parti yang bertanding sepanjang tempoh berkempen.

"Setakat ini empat kertas siasatan dibuka sejak hari penamaan calon dan 46 laporan polis diterima," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata tiga daripada kertas siasatan yang dibuka berkaitan menganjurkan ceramah tanpa permit dan satu kes membabitkan kain rentang serta bendera calon dirosakkan individu tidak bertanggungjawab.

"Hanya satu insiden diklasifikasi mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan khianat manakala tiga lagi disiasat menurut 24B(3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya.

Beliau berkata setakat ini 246 permit ceramah dikeluarkan kepada parti bertanding termasuk calon bebas dan polis akan melakukan pengawasan untuk memastikan pergerakan ceramah berlangsung dalam keadaan terkawal.

PRK Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pertandingan empat penjuru antara calon BN Suhaimi Sabudin, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).

PRK itu diadakan berikutan penyandangnya Datuk Seri Anwar Ibrahim hilang kelayakan sebagai wakil rakyat selepas Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon Anwar melalui anggota keluarganya.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian pada 7 Mei. - Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.