Monday, May 4, 2015

#PRKPermatangpauh : Protes Senyap Mungkin Berlaku DI PRK Permatang Pauh, Kata Khalid Samad

pilihanraya kini     7:55 PM    


Pas Pusat tidak menolak protes senyap yang akan dilakukan beberapa ahli Pas pada PRK Parlimen Permatang Pauh 7 Mei ini didalangi pihak tertentu dalam parti.

Ahli Jawatankuasanya, Khalid Abdul Samad berkata, protes senyap itu mungkin antara pendekatan digunakan bagi memastikan PKR tumbang di Permatang Pauh dan Pas keluar daripada PR.

“Kita tak boleh nafikan wujud kumpulan yang ingin supaya Pas keluar dari PR sama ada mereka benar-benar ahli Pas atau pun hanya individu yang menyamar sebagai ahli Pas.

“Pendekatan diguna merupakan satu bentuk provokasi supaya PKR kalah dan Pas keluar PR demi BN kekalkan kedudukan sebagai pemerintah,” katanya selepas ditemui pada program Diskusi dan Dialog Mempersada Pas di Pentas Perjuangan anjuran Pemuda Pas Ipoh Timor, kelmarin.

Beliau berkata, tindakan disiplin perlu dikenakan kepada mereka yang didakwa mengeluarkan kenyataan itu berikutan didapati telah melanggar arahan Pas Pusat.

“Ini membuktikan kemunculan baru kumpulan yang saya gelar sebagai Pas ekstrem dan perkara ini akan kita bincang dalam mesyuarat harian Pas Pusat supaya tindakan tegas dikenakan,” katanya.

Katanya, secara peribadi, beliau kecewa dengan kenyataan protes senyap yang dikeluarkan beberapa ahli parti di kawasan berkenaan kerana dilihat tidak komited sebagai rakan PR.

“Tindakan seperti ini memberi gambaran Pas tak berpegang kepada janji dan ahli boleh buat sesuka hati tanpa perlu ikut garis panduan ditetap,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Pas Kawasan Bagan, Azmi Jaafar dan Timbalan Yang Dipertua Pas Kawasan Bagan, Mohd Yusuf Khazal dilaporkan mengesahkan ada di kalangan ahli dan penyokong tidak akan keluar mengundi dan akan merosakkan undi sekiranya ke pusat pengundian. – Sinar

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.