Monday, May 4, 2015

#PRKPermatangPauh : Tiada Manifesto Bukti PKR Tidak Bersungguh Bela Nasib Rakyat

pilihanraya kini     8:02 PM    


Keengganan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk mengeluarkan manifesto sebagai janji mereka kepada rakyat memperlihatkan bahawa PKR sebenarnya tidak mempunyai perancangan pembangunan di kawasan Permatang Pauh biarpun sudah 17 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan ini, demikian jelas Ketua Penerangan Pemuda UMNO Malaysia, Jamawi Jaafar.
Selain itu, ia memperlihatkan sikap PKR yang menganggap mudah harapan serta hasrat pengundi di kawasan Permatang Pauh yang dikatakan sebagai kubu kuat mereka selama ini.
“Manifesto itu adalah satu perancangan jangka masa panjang dan jangka pendek untuk rakyat di kawasan ini. Jadi sekiranya tidak ada langkah-langkah perancangan, bagaimana untuk membantu rakyat, khususnya anak muda di kawasan ini.
“Bagaimana orang muda ingin menaruh kepercayaan kepada sebuah parti yang tidak ada perancangan untuk kawasan ini biarpun sudah berbelas tahun menjadi wakil rakyat di sini.
“Ini jelas berbeza dengan BN yang mewujudkan satu manifesto sebagai perancangan untuk rakyat di kawasan ini dalam soal pendidikan, ekonomi seperti peluang-peluang pekerjaan, pelaburan dan sebagainya. Inilah kesungguhan dan iltizam BN untuk membangunkan kawasan ini sekiranya menang pada 7 Mei ini,” ujarnya kepada UMNO-Online.
Beliau berkata demikian selepas program ziarah rumah ke rumah di sekitar kawasan perumahan di Seberang Jaya, Permatang Pauh di sini hari ini.
Tambah Jamawi, biarpun di kawasan ini sudah mempunyai UiTM dan politeknik yang dibina ketika zaman pemerintahan BN lagi, namun manifesto ini merupakan janji BN sebagai satu usaha yang berterusan untuk terus memajukan kawasan ini.
“Secara tidak langsung, manifesto ini juga dapat memperkasakan lagi pembangunan di sini sekiranya wakil daripada BN dipilih oleh rakyat di sini untuk menjadi wakil mereka.
“Ini kerana kita tahu setiap wakil rakyat BN mempunyai peruntukan sebanyak lima juta setahun untuk membangunkan kawasan mereka sepertimana yang diberitahu oleh pengarah jentera PRK Permatang Pauh, Datuk Seri Zahid Hamidi.
“Jadi inilah peluang yang harus diambil oleh rakyat khususnya anak muda di kawasan ini bukan saja untuk memberikan kemenangan kepada BN tetapi juga untuk mengangkat martabat anak muda dengan memilih calon yang terdiri daripada anak tempatan,” tegasnya.
Beliau juga yakin dengan calon BN, Suhaimi Sabudin sebagai anak tempatan yang mampu untuk bekerja keras membangunkan kawasan ini serta memberikan tumpuannya seratus peratus terhadap Permatang Pauh.
“Ini sudah tentu amat berbeza jika mahu dibandingkan dengan calon PKR yang terpaksa memikirkan pelbagai perkara termasuk soal kemelut dalaman parti politiknya, soal nasib rakyat di Kajang di mana beliau sebagai wakilnya, memikirkan pula hal keluarganya, cucunya dan pelbagai perkara lagi, yang mana pastinya akan menjejaskan tumpuannya terhadap warga Permatang Pauh.
“Jadi saya berharap agar warga pengundi di Permatang Pauh, khususnya golongan muda akan beri peluang kepada calon BN, orang muda dan anak tempatan yang pastinya mampu untuk memberikan tumpuan seratus peratus sebagai wakil rakyat di kawasan ini,” akhirnya.-MediaUMNO

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.