Sunday, May 3, 2015

#PRKPermatangPauh : Undi awal PRK Permatang Pauh berjalan lancar

pilihanraya kini     2:15 PM    


Proses mengundi awal di dua saluran iaitu di Dewan Gemilang, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah (SPT)  dan di berek kelamin Balai Polis Kubang Semang berjalan lancar sejak dibuka pada pukul 8 pagi tadi.
   
Timbalan Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Noordin Che Ngah berkata pihaknya menjangkakan peratusan yang keluar mengundi adalah 80 peratus daripada keseluruhan 627 pengundi.
   
"Kalau melihat kepada aliran keluar mengundi sejak pagi tadi hingga 11 pagi, ia berjalan lancar dan saya yakin dengan keadaan cuaca yang baik, lebih ramai pengundi yang akan keluar mengundi," katanya kepada pemberita selepas melawat pusat mengundi di IPD SPT.
   
Calon BN bagi PRK Permatang Pauh Suhaimi Sabudin turut kelihatan meninjau proses mengundi di IPD itu.
   
Pengundi awal terdiri daripada 627 anggota polis dan pasangan mereka.   
   
Seramai 30 orang mengundi di Balai Polis Kubang Semang yang ditutup pada pukul 2 petang sementara 597 orang mengundi di IPD SPT sebelum ditutup pada pukul 5 petang.
   
PRK Permatang Pauh pada Khamis ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Suhaimi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PKR), Azman Shah Othman (Parti Rakyat Malaysia) dan Salleh Isahak (Bebas).
   
Ia diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan beliau hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.   
   
Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun bagi sabitan meliwat. -Bernama

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.