Sunday, May 3, 2015

#PRKPermatangpPauh : Manifesto PRK Permatang Pauh BN Bukan ‘Kitar Semula’

pilihanraya kini     2:27 PM    


Manifesto Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh bukan kitar semula seperti yang didakwa pembangkang, kata Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Zainal Abidin Osman.
Beliau berkata manifesto yang merangkumi enam bidang utama itu adalah aku janji parti untuk kepentingan rakyat.
“Pelik kalau mereka kata ia manifesto (kitar semula) kerana tender untuk projek pembesaran Hospital Seberang Jaya dengan kos RM400 juta itu baru nak dibuka,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zainal Abidin berkata cadangan untuk Klinik 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh yang digariskan dalam manifesto itu adalah rancangan baharu kerana sebelum ini tiada perkhidmatan itu.
Beliau turut menyuarakan kekesalan dan kekecewaan terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang gagal mengutarakan rancangan pembangunan dan pemberian bantuan untuk penduduk Permatang Pauh.
“Pengundi tidak diberi peluang untuk melihat rancangan, perkhidmatan dan bantuan yang akan dibawa PKR kerana mereka tidak melancarkan manifesto. PKR seperti tiada apa-apa perancangan hanya sekadar nak meraih simpati,” katanya.
Zainal Abidin sekali lagi berharap pengundi membuat pilihan tepat pada pilihan raya kecil 7 Mei ini dengan memilih calon BN Suhaimi Sabudin yang komited sepenuh masa untuk penduduk Permatang Pauh. – BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.