Saturday, May 2, 2015

#PrkRompin : Bukan Omong Kosong Penyerahan Surat Hak Milik Tanah Peneroka Felda

pilihanraya kini     1:30 AM    



MUADZAM SHAH: Penyerahan surat hak milik tanah kepada 308 peneroka bukanlah gimik pilihan raya di daerah itu sebaliknya mengikut jadual giliran peneroka di Felda Keratong 10 untuk menerima surat hak milik tersebut.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob berkata di Rompin sendiri terdapat 6,493 peneroka di 17 tanah rancangan dan daripada jumlah itu 5,029 orang ataupun 70 peratus sudah mendapat surat hak milik.

“Bakinya 1,156 orang masih dalam proses semakan dan kelulusan Pejabat Tanah Daerah Rompin.


Majlis penyerahan surat hak milik tanah yang kita lakukan hari ini juga bukanlah gimik pilihan raya kerana memang ikut jadual tiba giliran peneroka di Felda Keratong 10 untuk menerima surat hak milik ini,” katanya.



Sehubungan dengan penyerahan itu sekaligus menolak dakwaan kerajaan negeri memperdayakan peneroka Felda seperti yang didakwa pembangkang.

Malah, tegas Adnan, proses mengeluarkan geran perlu mengambil masa yang lama berikut perlu mendapatkan pengesahan dan persetujuan daripada pelbagai agensi lain.


“Dahulu mereka kata geran tak akan keluar, Felda tipu peneroka. Ini semua tak betul. Proses mengeluarkan geran melibatkan banyak pihak, Pejabat Tanah, Felda, Pejabat Tanah dan Galian, selain memerlukan pelbagai peralatan untuk tujuan kerja mengukur tanah.


“Sehubungan itu saya minta masyarakat Felda supaya bijak buat pertimbangan dan teliti dahulu dakyah yang didengar daripada pihak berkenaan sebelum mempercayainya,” katanya.



Pada bulan depan, kerajaan akan memberikan surat hak milik kepada lima lagi tanah rancangan Felda iaitu 220 peneroka di Felda Lepar Hilir Tiga, Felda Tembangau 1 (279 peneroka), Felda Tembangau 2 (253 peneroka), Felda Rentam (430 peneroka), dan Felda Mengkuang ( 99 orang).

Jumlah keseluruhan yang bakal menerima surat hak milik pada Mei ini ialah 1,281 orang.

Secara keseluruhan, hampir 80 peratus masalah hak milik tanah 43,123 peneroka melibatkan 117 tanah rancangan Felda di Pahang berjaya diselesaikan oleh kerajaan negeri.

- See more at: http://www.pru14.tv/2015/05/01/penyerahan-surat-hak-milik-tanah-peneroka-felda-bukan-gimik/#sthash.HYUUNi1e.dpuf


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.