Monday, May 4, 2015

#PRKRompin : Calon BN Minta Rakyat Buat Pilihan Tepat

pilihanraya kini     12:11 PM    



Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin, kira-kira 20 jam menjelang pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Rompin bermula 8 pagi esok, berharap pengundi membuat pilihan tepat demi masa depan kawasan itu.

Beliau berkata Rompin masih memerlukan pembangunan, dan masalah penduduk termasuk soal pemilikan tanah dan ekonomi yang masih perlu terus diberi perhatian oleh BN yang mewakili kawasan Parlimen itu selama ini.

Bagi memastikan kesinambungan pembangunan di daerah Rompin, beliau berharap pengundi memberi peluang untuknya berkhidmat sambil berjanji akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik sekiranya diberikan mandat.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis pecah tanah Masjid Muadzam Shah di sini semalam yang disempurnakan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

"Saya yakin semua masalah berkaitan (dengan penduduk di Parlimen Rompin) dapat diselesaikan jika BN terus diberikan peluang untuk menang dalam PRK Selasa ini," kata anak kelahiran Kampung Ayau, Leban Chondong itu.

Majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd Razak dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tioman Datuk Mohd Johari Hussain.

Hasan, 62, berkata ini terbukti apabila Perdana Menteri,Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penurunan harga rumah untuk generasi kedua FELDA daripada RM125,000 kepada RM90,000 seunit semalam selepas mendengar keluhan peneroka.

Beliau juga yakin dengan pengalaman luasnya sebagai bekas timbalan menteri besar Pahang dari 1995 hingga 1999 dan pernah menjadi ADUN Tioman dan Bukit Ibam dari 1986 hingga 2004, kedua-dua kawasan itu di dalam Parlimen Rompin, dapat membantu menyelesaikan masalah yang dibangkit oleh penduduk.

Secara keseluruhannya, beliau turut berpuas hati dengan kempen jentera pilihan raya BN yang disifatkannya dalam peringkat pecutan terakhir sebelum tiba di garisan penamat esok.

Hasan ditentang calon PAS, Nazri Ahmad, 40, pada PRK yang diadakan susulan kematian penyandangnya Tan Sri Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Seramai 52,744 pengundi layak mengundi esok, sementara 464 daripada 545 pengundi awal telah mengundi pada Khamis lepas.



-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.