Sunday, May 3, 2015

#PrkRompin : Harga Baru Rumah Mampu Milik di Felda RM90,000

pilihanraya kini     2:52 AM    



KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan harga baru bagi pemilikan rumah mampu milik di tanah rancangan Felda khusus untuk generasi baru ditetapkan RM90,000 melalui pembelian secara jual-beli.

Beliau berkata, kerajaan menyediakan kaedah skim sewa dan beli di mana mereka akan menduduki rumah tersebut selama lima tahun secara sewaan dengan kadar yang munasabah.

“Tawaran pembelian yang dibuat selepas itu tertakluk kepada syarat-syarat dan perjanjian kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik melalui laman Facebook PMO Malaysia hari ini.

Menurutnya, rumah mampu milik itu dibina untuk generasi baru yang tidak berkeupayaan mendapatkan pembiayaan bagi membeli rumah dan selepas menyelami keluh kesah golongan berkenaan serta permintaan agar harga rumah tersebut dikaji semula, maka harga baru ditetapkan RM90,000.

Bagi tujuan itu, Perdana Menteri berkata, beliau sudah mengarahkan Pengarah Besar Felda, Datuk Hanapi Suhad untuk membuat tawaran berkenaan.

Najib turut memberitahu, komitmen kerajaan terhadap usaha memastikan generasi kedua memiliki rumah telah dizahirkan dengan pembinaan 1,504 unit Perumahan Generasi Baru Felda di Parlimen Rompin.

Katanya, sebanyak 480 unit rumah dibina di Felda Selancar 4 dan 5, Felda Keratong 4 sebanyak 264 unit, Felda Selendang 2 (360 unit) dan Felda Keratong 7 (400 unit) pada harga RM125,000 seunit dan harga berkenaan jauh lebih rendah dari harga pasaran semasa.

Najib turut memberitahu, kerajaan akan terus menjulang agenda pemilikan rumah oleh rakyat khususnya di tanah-tanah rancangan Felda dan perkara ini akan terus disemarakkan.

“Diharapkan pengumuman ini dapat merealisasikan impian generasi baru Felda khususnya di Parlimen Rompin untuk memiliki rumah idaman mereka,” katanya.


Sumber : http://www.tv14.my/2015/05/02/najib-umum-harga-rumah-mampu-milik-di-felda-rm90000/


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.