Sunday, May 3, 2015

#PrkRompin: `Hasan Ariffin Yang Saya Kenali’

pilihanraya kini     3:30 AM    



ROMPIN: “Datuk Hasan adalah seorang yang tidak banyak bercakap tetapi beliau cukup mesra dengan penduduk. Meskipun sudah 10 tahun tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaaan tetapi beliau tetap melawat penduduk setiap kali balik ke Rompin,” itu gambaran yang diberikan oleh Ketua Kampung Pianggu, Mohd Azli Abdullah, 57, mengenai calon Barisan Nasional (BN), Datuk Hasan Ariffin.

Menurut Mohd Azli, beliau sudah lama mengenali Hasan dan bekas Timbalan Menteri Besar Pahang itu sememangnya terkenal dengan sikap mesra dengan rakyat.

“Datuk (Hasan) banyak berjasa kepada penduduk di Kampung Pianggu ini. Beliau yang membina jambatan merentasi Sungai Anak Endau, membina 48 biji rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR), membuka ladang kelapa sawit, getah dan penanaman padi.

“Apabila tanah untuk membina masjid tidak mencukupi, beliau telah membeli tanah bersebelahan dan kemudian mewakafkannya untuk membina masjid,” katanya yang telah menjadi ketua kampung di situ sejak 1997.

Menurut Mohd. Azli, beliau bukan memuji Hasan sembarangan sebaliknya beliau sudah bekerjasama dengan calon wakil rakyat BN itu sejak sekian lama.

Malah, Hasan sebelum ini tidak bersetuju untuk dipilih semula sebagai calon BN di Parlimen Rompin ini hinggakan mereka terpaksa memujuknya supaya menerima jawatan berkenaan.

“Saya pernah cakap dengan Datuk (Hasan) bahawa beliau akan `kembali’ semula selepas ini,” katanya.

Sebagai anak jati Rompin, Mohd Azli memberitahu, Hasan akan mendekati penduduk dengan cara tersendiri iaitu beliau akan datang bertemu penduduk meskipun ketika mereka bekerja di kebun.

Hasan juga, katanya tidak kekok untuk minum kopi bersama penduduk dalam kebun atau ladang.

“Selepas tidak lagi memegang jawatan, beliau menetap di Kuala Lumpur tetapi boleh dikatakan hampir seminggu sekali beliau akan balik ke Rompin.

`Masa itulah Hasan akan tanya kami mengenai masalah yang dialami dan beliau suka bersembang dengan kami,” katanya.

Mohd Azli turut menceritakan bagaimana BN telah membantu membina membangunkan Kampung Pianggu hingga ia memberi manfaat kepada 3,000 penduduknya.

Kampung itu, katanya, telah dibangunkan sejak lebih 100 tahun lalu dan nama Pianggu diambil daripada nama sebatang pokok.

“99 peratus daripada penduduk di sini melibatkan diri dengan sektor pertanian. Penduduk diberikan baja padi dan racun secara percuma untuk penanaman padi. Itu semua dilakukan bagi membantu menaikkan taraf hidup penduduk,” katanya.

Justeru beliau hairan kenapa penyokong PAS mahu pula menerima pemberian bantuan berkenaan dan sering kali menjadi orang pertama yang naik ke atas pentas untuk menerima bantuan.

“Saya telah melalui jerit perit kesusahan sejak dulu dan kini saya melihat kampung ini mengecapi kemajuan dengan ramai anak tempatan diberikan peluang untuk menambah rezeki.

“Jadi pesanan saya kepada pengundi, fikirkanlah masa depan mereka dan bagi pengundi luar pula baliklah ke kampung untuk menunaikan tanggungjawab mengundi. Jangan sampai kita hilang nikmat pembangunan ini,” katanya.


Sumber: http://www.tv14.my/2015/05/02/mohd-azli-hasan-ariffin-yang-saya-kenali/


0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.