Monday, May 4, 2015

#prkRompin : Keperibadian Hasan Senjata BN Pertahan Rompin

pilihanraya kini     3:04 PM    



ROMPIN: Ketika kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin berbaki kurang 24 jam sahaja lagi menjelang hari pembuangan undi, Barisan Nasional (BN) kelihatan mampu mempertahankan kubu kuat parti itu kali ini.

Keyakinan itu bertambah kuat apabila kebanyakan pengundi yakin calon yang dipertaruhkan BN, Datuk Hasan Arifin akan memenangkan parti itu pada Selasa ini.

Menurut Mohd Nor Abdul Rahman, 62, walaupun pengundi 'marah' dengan BN mengenai isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan tanah rancangan Felda, keperibadian dan personaliti Hasan menjadi faktor utama kemenangan parti itu.

"Kami pilih calon, bukan pilih parti. Rakyat kecewa tapi BN pasti akan menang disebabkan Hasan. Beliau orang lama di sini... amat dikenali," katanya dalam tinjauan mStar Online.


Mohd Nor yang juga seorang peniaga di Muadzam Shah berkata, sikapnya Hasan yang suka turun padang ketika menjadi wakil rakyat dan timbalan menteri besar Pahang menyebabkan beliau amat disenangi penduduk.

"Beliau berasal dari Kampung Ayau, jadi beliau selalu turun ke sini dan tahu masalah rakyat. Kami mahukan calon anak tempatan sepertinya," kata Mohd Nor.

Jelas beliau, Hasan sentiasa menggunakan pendekatan 'berjiwa rakyat' untuk terus memenangi hati masyarakat setempat.

"Orang kampung bukan pandang sangat kelulusan seseorang calon tapi apa yang mereka nak adalah hubungan dengan masyarakat, itulah yang penting," katanya.

Seorang lagi penduduk di Felda Keratong 9, Yusof Abdullah, 59, berkata Hasan mempunyai kelebihan jika dibandingkan dengan calon PAS, Nazri Ahmad kerana rakyat pernah merasai pimpinannya sebelum ini.

"Hubungan beliau dengan rakyat sudah terjalin sekian lama. Kami tahu beliau akan tunaikan janjinya kepada rakyat. Rekodnya amat baik disini," katanya.

Yusof berkata, BN harus berterima kasih kepada pengaruh Hasan yang dilihat sebagai penyelamat parti itu di Rompin.

"BN buat pilihan tepat di saat kerajaan berdepan pelbagai kritikan. Saya amat yakin beliau akan menang kerana kredibilitinya tiada tandingan," katanya.

Beliau berkata ketiadaan perancangan khusus untuk penduduk Rompin sekiranya PAS menang membuatkan penduduk bimbang untuk mengubah sokongan mereka.

"Hasan sudah tentu akan bantu penduduk sekiranya menang tapi kami masih was-was dengan janji calon PAS kerana tidak begitu mengenalinya. Beliau mungkin hanya dikenali dikalangan ahli parti itu sahaja," katanya.

Menurut Saad Sukimin, walaupun beliau penyokong PAS tapi amat mengagumi Hasan kerana pemimpin itu tidak menjadikan perbezaan ideologi politik sebagai penghalang untuknya bergaul dengan masyarakat.

"Beliau bukan jenis pilih bulu... kalau jemput ke kenduri atau apa sahaja majlis membabitkan orang PAS, beliau akan hadir. Beliau tidak kekok untuk bergaul dengan sesiapa sahaja," katanya.

Saad yang juga Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Pahang Cawangan Muadzam Shah berkata, calon PAS mungkin berdepan kesukaran untuk menyaingi Hasan yang jauh lebih berpengalaman.

"Apapun kita tunggu 5 Mei nanti sama ada rakyat masih mengharapkan Hasan untuk membawa suara mereka ke Parlimen atau rakyat mula ubah sokongan kepada PAS," katanya.

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.