Friday, May 1, 2015

#PRKRompin: Pengundi Berdepan Masalah Kemudahan Asas - Calon BN

pilihanraya kini     2:30 AM    



ROMPIN, 30 April (Bernama) -- Calon Barisan Nasional (BN) Datuk Hasan Arifin berkata proses kempennya kini memasuki fasa kedua dengan tumpuan diberikan kepada pengundi yang berdepan pelbagai kesulitan.

Hasan berkata dalam tempoh penghujung kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin itu, tumpuan serius akan diberikan kepada pengundi yang mempunyai masalah dalam soal keperluan kemudahan asas di kawasan mereka.

"Kita akan cuba jelaskan dan terangkan lebih lanjut jika mereka masih mempunyai masalah terutama berkaitan rumah dan kawasan kediaman mereka...kita akan atasi masalah mereka," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyampaian Suratan Hak Milik Tanah peneroka Felda Keratong 10, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyampaikan Suratan Hak Milik kepda 308 peneroka generasi pertama Felda Keratong 10 itu, dan Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Isa Samad.

Hasan berkata kawasan tumpuan BN bagi fasa kedua kempen PRK Parlimen Rompin adalah masih di kawasan Felda, serta ke kawasan kampung tradisional di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman.

Hasan berkata sehingga kini, semua kawasan di parlimen tersebut sudah dilawatinya dan beliau akan mengadakan kunjungan balas pada fasa kedua itu.

"Saya akan bertemu dengan seramai mungkin pengundi di semua kawasan pada hari-hari akhir kempen ini," katanya.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Hasan dan calon PAS Nazri Ahmad ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Sebanyak 460 pengundi awal atau 84.4 peratus daripada 545 pengundi awal telah menjalankan tanggungjawab mereka hari ini, di empat pusat pengundian dan sejumlah 52,744 lagi pengundi akan menunaikannya pada Selasa depan.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.