Monday, May 4, 2015

#PrkRompin : Persiapan PRK Rompin Esok Berjalan Lancar - SPR

pilihanraya kini     3:01 PM    



ROMPIN, 4 Mei (Bernama) -- Persiapan bagi mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin esok berjalan lancar dengan beberapa kerja pemeriksaan akhir dilakukan pada hari ini.

Pengarah Pejabat Pilihan Raya Pahang Shafie Taib berkata tugasan saat akhir itu melibatkan pemeriksaan ke atas peti undi di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini sebelum peti undi dihantar ke empat balai polis hari ini.

Balai polis yang terlibat ialah Ibu Pejabat Polis Daerah Rompin, Balai Polis Muadzam Shah, Balai Polis Bandar Tun Razak dan Balai Polis Tekek di Pulau Tioman.

Beliau berkata peti undi akan disimpan di dalam lokap balai polis dan petugas pilihan raya akan mengambil peti undi pada pukul 6 pagi esok (Selasa) untuk dibawa ke 38 pusat pengundian PRK Rompin.

"Mereka juga akan membuat kemasan terakhir di sekolah dan balai raya yang dijadikan pusat pengundian sebelum dibuka kepada 52,744 pengundi pada pukul 8 pagi esok," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Shafie berkata peti undi ke Pulau Tioman dihantar menggunakan helikopter yang berlepas dari padang Pejabat Daerah dan Tanah Rompin mulai 1.30 tengah hari, 2.30 petang dan 3.30 petang hari ini.

Katanya pusat pengundian akan ditutup secara berperingkat esok, iaitu pada pukul 4 petang di Bukit Ridan, Muadzam Shah yang mempunyai 312 pengundi.

Selain itu, beberapa pusat mengundi di Pulau Tioman termasuk di Juara yang mempunyai 171 pengundi dan Kampung Mukut (136 pengundi) ditutup pada pukul 2 petang ekoran jumlah pengundi yang tidak ramai, katanya.

Pusat pengundian lain akan ditutup seperti biasa pada pukul 5 petang.

Shafie berharap semua penduduk Rompin akan memanfaatkan cuti peristiwa esok untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka.

Beliau turut mengingatkan penyokong parti politik yang bertanding supaya tidak melakukan sebarang provokasi pada hari pengundian, supaya proses pengundian berjalan secara aman tanpa sebarang insiden tidak diingini

Ditanya mengenai pemantauan SPR sepanjang tempoh berkempen, Shafie berkata secara keseluruhan tempoh berkempen yang akan tamat pada pukul 12 tengah malam ini berjalan dengan baik.

"Cuma berlaku beberapa masalah kecil seperti menampal poster dan kejadian itu dapat kami selesaikan secara baik," katanya.

PRK Rompin menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional Datuk Hasan Arifin dengan calon PAS Nazri Ahmad ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis akibat nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu.

Proses pengundian awal telah berlangsung pada Khamis lalu dan seramai 464 orang atau 85.1 peratus daripada 545 pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

-- BERNAMA

0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.