Friday, May 1, 2015

#PrkRompin : Polis Masih Siasat 9 Kes

pilihanraya kini     4:00 AM    



Polis masih menyiasat sembilan kes yang dilaporkan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin termasuk kes jenayah. 

"Daripada sembilan kes itu, melibatkan satu kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan, dua kes di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat.

"Sementara dua kes di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan empat kes lagi di bawah subseksyen 4A(1) Kesalahan Pilihan Raya 1954 kerana memasang kain rentang yang tidak mempunyai logo parti politik," kata Ketua Pusat Media PRK Rompin Superintenden Abdul Aziz Mahmud kepada Bernama di Rompin hari ini.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya menerima 52 laporan polis yang dibuat sepanjang tempoh kempen yang bermula sejak 22 April lepas hingga semalam. Dalam tempoh sama, sejumlah 92 permit mengadakan ceramah telah diluluskan yang melibatkan 72 ceramah PAS dan 20 ceramah Barisan Nasional (BN).

PRK Parlimen Rompin Selasa ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon BN Datuk Hasan Arifin dan calon PAS Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu ekoran kematian penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis, dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lalu. 




– Bernama



0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.