Sunday, May 3, 2015

#PRKRompin: Takut ‘silent protest’

pilihanraya kini     4:00 AM    



Sayap Wanita UMNO melahirkan kegusaran jika ada di antara pengundi luar yang balik mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Rompin 5 Mei ini akan diterjemahkan sebagai undi protes.

Ketua Penerangannya, Datuk Rosni Zahari berkata seramai 4,900 daripada 15,000 pengundi itu terdiri daripada kategori putih, iaitu cenderung kepada Barisan Nasional, akan balik mengundi calon BN, Datuk Hasan Arifin.

Malah, isu GST yang menjadi kempen utama pihak pembangkang diharap dapat ditangkis setelah beberapa pimpinan utama BN turun padang memberi penjelasan kepada rakyat Rompin.

“Saya takut pengundi akan terjemahkan sebagai ‘silent protest‘ masa pilihan raya. Walaupun dalam bancian kami mereka kategori putih, tapi undi pembangkang. Itu kegusaran kami,” katanya kepada The Rakyat Post ketika ditemui di Pusat Media PRK P.91 Rompin, di sini hari ini.

Rosni berkata walaupun suasana bahan kempen berbeza pada PRU12 dan sebelumnya, namun isu nasional tetap boleh mempengaruhi undi di peringkat bawahan melalui teknologi aplikasi terkini iaitu Whatsapp dan Facebook.

Ini sekaligus membuatkan petugas jentera wanita dengan kekuatan 1,800 anggota akan memastikan pengundi-pengundi ‘putih’ jauh daripada didekati pihak pembangkang yang dikhuatiri akan meracuni pemikiran mereka.

“Yang sebenarnya isu tempatan, tidak ada. Isu sekarang ini adalah isu nasional. Kalau dulu isu nasional tidak jejas undi, tetapi akhir-akhir ini isu nasional boleh jauhnya mempengaruhi undi di bawah.

“Itu bezanya dulu dan sekarang melalui media sosial yang pantas seperti Facebook dan Whatsapp, cepat turun sampai ke bawah,” katanya.

PRK Parlimen Rompin menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Datuk Hasan Arifin dan calon PAS, Nazri Ahmad bagi mengisi kekosongan kerusi itu selepas penyandangnya Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis terkorban dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor pada 4 April lepas.

Seramai 52,744 pengundi biasa pula akan menunaikan tanggungjawab mereka pada 5 Mei ini.





0 comments :

© 2011-2014 PILIHANRAYA KINI . Designed by Bloggertheme9. Powered by Blogger.